SIBU: Bahagian Sibu akan diisytiharkan sebagai kawasan kawalan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) tidak lama lagi, berikutan pengesanan ASF di tiga ladang belakang rumah di Durin, dekat sini baru-baru ini.

Menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak, Dr Adrian Susin Ambud (gambar), pengisytiharan itu akan dibuat oleh Menteri Pemodenan Pertanian dan Kemajuan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Beliau berkata langkah itu bagi mengelak penularan penyakit itu ke kawasan lain.

“Apabila pengisytiharan dibuat di bawah Seksyen 35 (1) (b) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, orang ramai termasuk penternak babi di kawasan kawalan penyakit ASF tidak dibenarkan membawa, membeli, mengirim produk daging babi atau produk khinzir keluar.dari kawasan ini tanpa permit pergerakan Veterinar.

“Permit pergerakan veterinar boleh didapati di mana-mana Pejabat Veterinar atau Pejabat Veterinar Sibu (dengan menghubungi nombor) di talian 084-330224,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dr Adrian juga menyebut bahawa bilik gerakan di Pejabat Veterinar Sibu disediakan sejak semalam untuk memantau keadaan.

Ditanya sama ada akan ada pemusnahan babi untuk ketiga-tiga ladang yang dijangkiti di Durin, beliau berkata tidak ada tindakan sedemikian buat masa ini.

“Semua babi di ketiga-tiga ladang yang dijangkiti telah mati pada bulan lepas (Disember). Apabila kami menjalankan siasatan, babi-babi itu telah pun mati.

"Jadi, kami mengumpul sampel tulang untuk mengesahkan ia adalah virus (ASF)," katanya.

Dr Adrian menjelaskan bahawa biasanya apabila ladang dijangkiti virus ASF, kesemua ternakan babi di ladang akan mati dalam tempoh dua minggu.

“Sebagai contoh, jika terdapat 10 ekor babi di ladang, dan seekor dijangkiti (ASF), selebihnya juga akan dijangkiti dan mati dalam tempoh dua minggu,” jelas beliau.

Beliau bagaimanapun masih belum mempunyai butiran lanjut mengenai jumlah babi yang mati di ketiga-tiga ladang terbabit.

Namun begitu, beliau percaya bilangan itu mungkin tidak banyak, memandangkan ia adalah ladang di belakang rumah.

"Memandangkan ini adalah ladang di belakang rumah, mereka tidak menternak banyak (babi) melainkan untuk tujuan kegunaan sendiri," katanya.

Tambah beliau lagi, (kawasan) Durin tidak membekalkan babi atau produk babi ke bahagian lain di negeri ini kerana penternak menternak babi untuk kegunaan sendiri.

Jelasnya, terdapat kawasan penternakan babi di Pasir Puteh, Simunjan membekalkan daging dan produk babi bagi memenuhi permintaan di negeri ini.

Beliau berkata, lebih 500 ekor babi setiap minggu disembelih di sana, yang diperiksa oleh Jabatan Veterinar dan disahkan selamat untuk dimakan.

Dr Adrian seterusnya menyebut bahawa kawasan penternakan babi di Pasir Puteh mempunyai pembahagian untuk ASF, di mana pematuhan biosekuriti yang ketat.

"Biosekuriti seperti ini akan menghalang virus daripada masuk. Tetapi yang paling penting, kami ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa daging di pasaran sesuai untuk dimakan manusia," katanya sambil menambah bahawa virus ASF tidak menjangkiti manusia.

Bagi tujuan ini, beliau mengingatkan penternak babi supaya tidak memberi makan babi mereka dengan sisa dapur atau sisa makanan.

Bagaimanapun, jika diberi, makanan sedemikian perlu dimasak sekurang-kurangnya 30 minit untuk membunuh virus ASF, tegasnya.

Selain itu, Dr Adrian turut menasihatkan orang ramai khususnya penternak babi supaya tidak memburu babi hutan atau mengunjungi ladang babi lain bagi mengelak penularan virus ASF.

Beliau turut menasihatkan mereka supaya menghubungi pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran atau WhatsApp ke talian hotline Regulatory melalui 016-2840918 sekiranya mempunyai pertanyaan lanjut.