Chong bercakap pada sidang media selepas mesyuarat PH Sarawak di Ibu Pejabat DAP di Kuching hari ini. -Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Pakatan Harapan (PH) Sarawak mengesahkan akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12), 18 Disember ini. 

Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen bagaimanapun berkata calon akan ditentukan parti komponen PH iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (AMANAH). 

"Calon kita serah kepada parti masing-masing untuk tentukan dan calon akan bertanding menggunakan simbol parti masing-masing. 

"Agihan kerusi sudah kita umumkan pada awal tahun ini di mana PKR bertanding di 47 kerusi," katanya pada sidang media selepas mesyuarat PH Sarawak di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini. 

Dalam pada itu PH Sarawak pada Januari tahun ini mengumumkan PKR akan bertanding di 47 kerusi, DAP bertanding 26 kerusi dan AMANAH bertanding sembilan kerusi. 

Kerusi yang akan ditandingi PKR ialah Opar, Tanjung Datu, Pantai Damai, Tupong, Satok, Batu Lintang, Asajaya, Serembu, Tarat, Tebedu, Sadong Jaya, Simunjan, Lingga, Beting Maro, Balai Ringin, Bukit Begunan, Engkilili dan Batang Ai. 

Turut akan ditandingi PKR Sarawak kerusi Saribas, Layar, Bukit Saban, Kalaka, Krian, Daro, Pakan, Meluan, Ngemah, Machan, Nangka, Dalat, Tellian, Balingian, Tamin, Kakus, Katibas, Belaga, Murum, Jepak, Bekenu, Lambir, Marudi, Telang Usan, Mulu, Bukit Kota, Batu Danau, Ba’ Kelalan dan Bukit Sari. 

Manakala 26 kerusi yang akan ditandingi DAP ialah Tasik Biru, Padungan, Pending, Kota Sentosa, Batu Kitang, Batu Kawah, Stakan, Mambong, Kedup, Bukit Semuja, Simanggang, Repok, Meradong, Bukit Assek, Dudong, Bawang Assan, Pelawan, Pelagus, Bukit Goram, Baleh, Tanjong Batu, Kemena, Samalaju, Piasau, Pujut dan  Senadin. 

Baki sembilan kerusi iaitu Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Gedong, Sebuyau, Kabong, Kuala Rajang, Semop dan Jemoreng akan ditandingi AMANAH. 

Ditanya adakah beliau akan mempertahankan kerusi Kota Sentosa, Chong berkata beliau akan umumkan bila tiba masanya. 

Manakala bagi muka baharu katanya, beliau juga tidak dapat dedahkan buat masa ini. 

Terdahulu Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak dan penyandang kerusi Kota Sentosa berkata mesyuarat hari ini membincangkan strategi PRN. 

Katanya meskipun prosedur operasi standard (SOP) ketat diletakkan, PH Sarawak tetap akan memberikan lawan hebat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).