Abdullah pada majlis penutupan Program Budi Kita: Sarawakku Sayang pada Khamis.

KUCHING: Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN) bukan soal politik semata-mata tetapi juga membabitkan penjagaan kesihatan ketika berkempen kerana ancaman COVID-19 masih ada walaupun ramai yang telah mendapat vaksin dos ketiga.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol yang berkata demikian menambah, apa yang mustahak ialah mengelakkan tercetus kluster COVID-19 sekiranya Garis Panduan (SOP) tidak dipatuhi.

“Ini bukan politik semata-mata tetapi melibatkan kesihatan dan melibatkan nyawa orang,” katanya ketika diminta mengulas mengenai SOP PRN12 yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan pada satu sidang media di sini, pada Khamis.

Abdullah yang dijangka akan mempertahankan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop berkata ketika berusaha meraih sokongan daripada pengundi, nilai kemanusiaan juga wajar diterapkan dalam kalangan calon dan para petugas.

“Masyarakat bukan hanya menilai kemampuan seseorang calon untuk berkhidmat dan bekerja tetapi disiplin calon ketika berkempen,” ujarnya.

Beliau berpendapat, setiap calon dan petugasnya perlu kerap melakukan ujian COVID-19 kendiri, selain mengamalkan pencegahan asas seperti sentiasa menggunakan pelitup separuh muka, cecair pembasmi kuman dan tidak berkumpul beramai-ramai.

Mengenai tahap sokongan pengundi terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS), beliau berkata beliau yakin masyarakat kini mampu menilai jika dibanding sebelum 2018 – ketika Pilihan Raya Umum 2018 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) tumbang dan digantikan dengan Pakatan Harapan (PH).

“Saya yakin masyarakat sekarang sudah matang dan melihat di (PRN) Melaka, siapa yang menjanjikan bulan dan bintang atau siapa yang realistik.

“Kita tidak mahu kerajaan menang tipis kemudian berebut kerusi, kerajaan yang tahu mentadbir dan dapat menguruskan pemulihan ekonomi dan sebagainya.

“Saya yakin berharap masyarakat tahu wakil rakyat yang macam mana mahu dipilih dan kepimpinan yang macam mana mereka mahu, sebab kita masih dalam proses pemulihan ekonomi dan sosial yang berpunca daripada COVID-19,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata Program Budi Kita: Sarawakku Sayang yang disempurnakan penutupan oleh beliau wajar diadakan di tempat lain di luar Kuching agar warga seni di seluruh Sarawak mendapat pendedahan mengenai dana disediakan kerajaan.