MIRI: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak iaitu bagi kawasan Bekenu, Lambir, Piasau, Senadin dan Marudi akan mempertahan kerusi masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 18 Dis ini.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (gambar), yang mengesahkan perkara itu, berkata kelima-lima penyandang kerusi terbabit telah bekerja kuat sewaktu berkhidmat di kawasan masing-masing.

“Insya-Allah kita akan kekalkan supaya pasukan ini dapat membantu saya dalam pasukan yang lebih besar di dalam GPS,” katanya semasa berucap pada majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat di sini malam ini.

Mereka ialah Datuk Rosey Yunus, Ripin Lamat, Datuk Sebastian Ting, Datuk Seri Lee Kim Shin dan Datuk Dr Penguang Manggil.

Mengulas nasib penyandang bagi dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Bahagian Miri iaitu DUN Telang Usan dan Mulu, Abang Johari memberi bayangan akan mengumumkan sesuatu ketika lawatannya ke Mulu esok. - BERNAMA