BANGKOK: Lebih 4,000 petugas perubatan termasuk doktor dijangkiti COVID-19 sejak pandemik itu mula melanda tahun lalu, kata seorang pegawai kanan kesihatan awam.

Pengarah Komunikasi Bencana Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Sumanee Wacharasin berkata data menunjukkan dari 15 Feb sebanyak 4,270 petugas barisan hadapan didapati positif COVID-19.

“Daripada jumlah itu, seramai 198 doktor dan 34 pelajar perubatan dijangkiti manakala ramai petugas perubatan dikuarantin selepas menjadi kontak rapat,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini pada Rabu.

Sementara itu, Dr Sumanee berkata situasi COVID-19 semakin pulih apabila kes baharu terus menunjukkan penurunan. 

Sepanjang 24 jam lalu, Thailand merekodkan 5,857 kes baharu COVID-19 dan 55 kematian, menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 2,081,992 setakat ini.

Thailand merekodkan lebih 20,000 kes COVID-19 dan lebih 200 kematian pada Ogos.- BERNAMA