Reezal  (kanan) ditemani Dr Sim pada sidang media di Ike Village Kota Samarahan hari ini. -Gambar Roy Emmor.

KOTA SAMARAHAN: Enam projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Sarawak antara 273 projek perumahan diluluskan pembangunannya oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). 

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, daripada jumlah itu dua projek perumahan dibangunkan di Kuching, dua projek di Miri manakala Sibu dan Kota Samarahan masing-masing satu projek. 

"Kesemua PPAM di seluruh Sarawak meliputi meliputi 1,595 unit dengan tawaran harga berjumlah RM198,900 hingga RM297,850. 

"Ini kerana usaha kerajaan menerusi KPKT dalam memperkenalkan Skim PPAM bertujuan memberi peluang kepada penjawat awam memiliki rumah sendiri dengan harga kurang RM300,000," katanya semasa sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci PPAM di Ike Village, di sini hari ini. 

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian. 

Berhubung projek PPAM Ike Village Kota Samarahan, Reezal berkata ia salah satu projek berjaya disiapkan dan majlis penyerahan kunci dapat dilaksanakan. 

"Pangsapuri yang diuruskan oleh pemaju Musyati Ibanco Property Sdn Bhd ini mempunyai 300 unit dengan ruang keluasan antara 850 hingga 1150 kaki persegi. 

"Selain dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik mandi, fasiliti yang disediakan ialah surau, dewan serbaguna, tempat letak kereta berbumbung, tadika dan kawasan permainan," jelasnya sambil menambah, kemudahan istimewa seperti akses internet, sistem kesihatan serta pembangunan komuniti turut disediakan. 

Katanya, menerusi reka bentuk yang disediakan ini, ia membolehkan penghuni melahirkan rasa gembira dan selesa kerana beliau menekankan suasana di sesebuah perumahan harus mempunyai persekitaran yang baik. 

"Reka bentuk yang disediakan oleh Musyati Ibanco Property Sdn Bhd ini dianggap salah satu reka bentuk yang boleh digunakan untuk projek PPAM yang lain," ujarnya. 

Sementara itu, beliau turut menyatakan perasan gembira apabila hampir 60 peratus pembeli PPAM Kota Samarahan merupakan penjawat awam berumur kurang 40 tahun. 

Sehubungan itu, jelasnya KPKT terus fokus kepada matlamat kementerian tersebut bagi menyediakan perumahan selesa, yang bukan sahaja kepada penghuni malah menyediakan suasana harmoni dan lestari.