SELAMAT: Keadaan mangsa di atas bot besi yang hampir karam semasa diselamatkan di perairan Kimanis.
RAWAT: Kesemua mangsa yang dihantar ke Jeti Maritim Sepanggar diserahkan kepad pihak ambulans untuk tindakan lanjut.
RAWAT: Kesemua mangsa yang dihantar ke Jeti Maritim Sepanggar diserahkan kepad pihak ambulans untuk tindakan lanjut.

KOTA KINABALU: Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan tujuh penumpang selepas bot dinaiki karam di perairan Kimanis di sini semalam.

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah menerima satu panggilan kecemasan daripada pengadu berhubung kejadian kira-kira jam 12.06 tengah hari.

“Bertindak dengan kejadian, Maritim Malaysia mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pada jam 12.45 tengah hari dan Kapal Maritim (KM) Ikhlas serta bot Pengawal 39 diarahkan ke lokasi kejadian.

“Maklumat awal kejadian membabitkan sebuah bot besi yang berukuran empat meter karam sepenuhnya, manakala bot kedua yang berukuran 10 meter hampir tenggelam,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya tujuh orang mangsa yang berada di lokasi diarahkan oleh petugas MRSC Kota Kinabalu untuk memakai jaket keselamatan sementara menunggu bantuan tiba.

“Semasa ketibaan pasukan penyelamat di lokasi kira-kira jam 1.42 petang, kesemua mangsa sedang berdiri di atas bot yang hampir tenggelam.

“Mangsa yang juga kontraktor bagi kerja-kerja pemasangan di perairan Kimanis kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Sepanggar untuk tindakan lanjut,” katanya.