AZIS

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman, meminta Kementerian Kewangan memberi penjelasan mengenai pelaksanan Program Jana Wibawa, iaitu program jana ekonomi pemerkasaan  kontraktor Bumiputera berwibawa, berkaitan satu kontrak runding terus yang dianugerahkan kepada syarikat Samling Resoures Sdn Bhd bagi membina jalan Sarawak-Sabah Link Road, dari persimpangan Long Lopeng di Lawas, berjumlah RM1.13 bilion.

Dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, beliau berdasarkan penjelasan awal Menteri Kewangan kepada soalan asal Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, pada 5 Oktober lepas, menyatakan kriteria memberi kaedah pengecualian perolehan runding terus berdasarkan lima kriteria.

Kriteria tersebut ialah mengenai kepentingan awam yang perlu disegerakan, kedua penyeragaman barangan, ketiga berkaitan pemegang francais, keempat melibatkan keselamatan dan strategik, dan kelima kontrak melibatkan syarikat  Bumiputera.

Katanya, hasil siasatan yang dibuatnya menerusi Suruhanjaya Syarikat Malayssia (SSM), beliau  mendapati syarikat ini tidak menunjukkan sebarang rekod, sebaliknya beliau menemukan syarikat Samling Ecovast Sdn Bhd, yang merupakan syrikat usahasama di antara Samling Resources Bhd dan Ecovast Berhad.

"Hasilnya juga mendapati bahawa syarikat Samling Resources ini bukanlah satu syarikat Bumiputera," katanya.

Sehubungan itu, Asiz mempersoalkan kenapa projek yang dibangkitkannya itu diberi kepada syarika bukan Bumiputera.

Beliau juga mendakwa bahawa pada minggu lepas, sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham , iaitu Kimloon Corporation Bhd telah mengumumkan bahawa anak syarikat mereka telah diberi kontrak bernilai RM780 juta, oleh Samling Resources Bhd untuk membina satu projek, iaitu Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah Bagi Persimpangan Lawas-Long Lopeng.

"Persoalan saya, jika syarikat Samling diberi perolehan oleh kerajaan berjumlah RM1.13 bilion, dan kemudian syarikat sama menawarkan pula projek yag sama kepada Kimlon pada harga RM780 juta. adakah ini benar dan jika benar, ke mana perginya RM350 juta ini, kerana ia satu jumlah yang cukup besar," katanya.

Beliau berharap Kementerian Kewangan memberikan penjelasan mengenainya kerana ia melibatkan jumlah yang begitu besar dan melibatkan wang rakyat.

Dalam pada itu, Azis berkata berdasarkan rekod projek runding terus 2021, sebanyak 46 projek disenaraikan keseluruhannya.

Beliau berkata projek runding terus itu dilakukan ketika musim darurat, sedangkan pada waktu itu tiada satu projek pun melibatkan Kementerian Kesihatan.

"Yang menariknya, daripada 46 projek runding terus, tiada satu pun projek dilaksanakan di Sabah," katanya, sambil menegaskan apa yang disuarakannya di Parlimen ada justifikasi menuntut hak kesamarataan peruntukan untuk Sabah dan Sarawak.

Secara perbandingan, Azis membandingkan projek runding terus diperolehi negeri-negeri lain, antaranya Kelantan sembilan projek (RM1.63 bilion), Perak tiga projek (RM378 juta) dan Terengganu empat projek (RM548 juta).