Abang Johari pada majlis pecah tanah bagi pembinaan stesen pelbagai bahan api Petros - Gambar PENERANGAN

KUCHING: Sarawak akan menjadi pengeluar dan pembekal terbesar bahan api hidrogen di rantau Asia Tenggara bermula 2023, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.

Abang Johari berkata Sarawak mempunyai keupayaan untuk mengeluar dan membekal tenaga hidrogen kerana mempunyai banyak sungai, di mana air sungai berkenaan boleh diproses untuk dijadikan bahan hidrogen untuk kegunaan kenderaan.

“Ada beberapa syarikat dari Korea, Jepun dan Australia telah menyatakan minat masing-masing untuk melabur dalam sektor pengeluaran tenaga hidrogen di negeri ini, dan ini bermakna kita sudah berada di landasan yang tepat untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeluar hidrogen utama di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan upacara pecah tanah bagi pembinaan stesen pelbagai bahan api Petros (Petros Multifuel Station) di Bandar MJC, Batu Kawa di sini.

Abang Johari berkata Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), agensi yang dipertanggungjawab untuk projek pengeluaran hidrogen di negeri ini, meletakkan sasaran untuk menghasilkan 10,000 tan setahun bagi tempoh di antara 2023 dan 2025.

Abang Johari berkata kos bagi melaksanakan projek berkenaan adalah tinggi pada peringkat permulaannya, namun menjangkakan akan menjadi lebih rendah dalam tempoh lima hingga 10 tahun selepas itu.

Sementara itu, beliau berkata dalam jangka masa panjang stesen pelbagai bahan api yang serupa akan dibina di seluruh negeri, bermula dengan di Sibu, Miri, Bintulu dan Sri Aman, diikuti di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo dan Lebuh Raya Pesisir Pantai Sarawak.

Katanya, Sarawak mempunyai empat empangan, iaitu Batang Ai, Bakun, Murum dan Baleh untuk sumber hidrogen, dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan pembebasan karbon untuk memelihara kebersihan alam sekitar. - BERNAMA