Abd Latiff mendapatkan penerangan daripada Abdul Wahab mengenai peralatan yang digunakan oleh anggota APM Sarawak.

KUCHING: Pembinaan Pusat Pertahanan Awam (PUSPA) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak fasa kedua akan bermula awal tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata peruntukan sebanyak RM70 juta untuk pelaksanaan projek tersebut sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Menurutnya, pembinaan PUSPA itu nanti diyakini mampu memenuhi keperluan APM Sarawak untuk tempoh jangka masa panjang.

"Pembinaan Fasa 2 PUSPA nanti akan melengkapkan lagi frasarana keperluan latihan APM Sarawak yang merangkumi, dewan serbaguna, asrama, bilik kuliah dan pasang kawad.

"Selain itu, PUSPA juga akan dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang mampu menampung sehingga 2,000 mangsa yang terjejas dengan banjir nanti," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau terdahulunya mengadakan lawatan kerja ke PUSPA APM Sarawak di Jalan Bako, di sini hari ini.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan kewangan RM380,000 untuk pengoperasian APM di lapangan serta sebagai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri dan daerah.

"Peruntukan ini telah disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membuat pembelian segera semasa operasi," katanya.

Difahamkan juga, lawatan tersebut adalah untuk melihat keperluan logistik dan aset serta persedian APM Sarawak bagi menghadapi Monsun Timur Laut pada November ini sehingga Mac tahun hadapan.

"Secara keseluruhannya, APM Sarawak telah bersiap sedia dengan keanggotaanya seramai 1,210 orang, 64 pelbagai jenis bot, 17 lori, 16 kenderaan pacuan empat roda, 13 ambulans dan empat unit dron," katanya.

Sementara itu, Abd Latiff berkenaan dasar Revolusi Digital 4.0 Negara menberitahu APM turut mengorak langkah dengan penggunaan sistem pendigitalan TracAPM untuk kerja-kerja pengoperasian di lapangan.

"Dengan adanya sistem ini, penugasan pengoperasian APM di lapangan semakin menjadi mudah dan laporan boleh dihantar terus tanpa perlu menunggu proses yang lama.

"Pada masa akan datang, sistem ini akan diperluaskan kepada pengurusan bencana iaitu pengurusan PPS, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan agihan bantuan," katanya.

Turut sama dalam lawatan tersebut, Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana Dan Operasi APM, Abdul Wahab Rahim dan Pengarah APM Sarawak Mohtar Samat.