Ismail pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Hospital Petra Jaya hari ini. -Gambar PENERANGAN

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum membentangkan sebarang kaedah mahupun garis panduan untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12).

Beliau berkata pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi membolehkan PRN-12 diadakan hanya boleh dilakukan selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Perintah Darurat (EO) di negeri ini tamat.

"Belum lagi, jangan mendahului Yang di-Pertuan Agong. Pembubaran DUN, penetapan dan pembatalan darurat, itu semua kuasa Yang di-Pertuan Agong.

"Jadi janganlah kita mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong. Kita tunggulah," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Hospital Petra Jaya dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg , Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dato Sri Sim Kui Hian.

Beliau berkata demikian sebagai menjawap soalan daripada pemberita sama ada SPR ada membentangkan kaedah pelaksanaan PRN-12 Sarawak sekiranya ia diadakan dalam waktu terdekat.

Perintah Darurat dikuatkuasakan di Sarawak bagi membendung penularan COVID-19 sejurus selepas ia ditamatkan di seluruh negara pada Ogos lalu selepas kes COVID-19 merekodkan peningkatan membimbangkan.

Disebabkan itu, pilihan raya tidak boleh diadakan meskipun tempoh DUN tamat Jun lalu. Perintah Darurat di Sarawak dijadual tamat pada 2 Febuari 2022.