Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian

SERIAN: Seorang anggota polis maut akibat kecederaan parah di kepala selepas terlibat kemalangan di jejambat Kilometer 58 Jalan Kuching-Sri Aman, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata mangsa dikenali sebagai Zairulizan Ismail,38, dan berasa dari Kampung Melayu Tebakang, di sini.

Menurutnya, semasa kejadian mangsa menunggang sebuah motosikal berkuasa tinggi dari arah Kuching ke Serian iaitu sekitar jam 10.30 pagi.

"Setiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan dan melanggar konkrit pembahagi jalan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serian untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan kes masih dijalankan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.