KUALA LUMPUR: Jumlah kes harian COVID-19 di Malaysia mencatatkan penurunan dengan 6,145 kes baharu dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Kali terakhir kes harian direkodkan bawah 7,000 adalah pada 11 Oktober dengan 6,709 kes.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes adalah 2,390,687.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu hari ini, hanya 142 kes atau 2.3 peratus melibatkan kategori tiga, empat dan lima, manakala baki 6,003 kes atau 97.7 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Daripada jumlah kes baharu itu, 12 kes adalah kes import manakala 6,133 kes melibatkan penularan tempatan,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi COVID-19 hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 9,231 kes sembuh dilaporkan hari ini, sekali gus mengatasi kes baharu.

Selain itu, terdapat 640 kes yang disahkan COVID-19 dan memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 281 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, beliau berkata sembilan kluster baharu telah dikenal pasti membabitkan enam kluster tempat kerja, dua kluster komuniti dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari. - Bernama