KUCHING: Sebanyak 444 syarikat pengendali umrah berlesen kini menarik nafas lega setelah hampir dua tahun ibadah umrah tidak dapat dilakukan akibat penutupan sempadan negara dan larangan oleh negara Arab Saudi untuk mengerjakan haji dan umrah kepada semua negara. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Dato Sri Nancy Shukri (gambar) berkata, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 15 Oktober berhubung kebenaran pergerakan Keluarga Malaysia ke luar negara untuk mengerjakan umrah bermula esok (18 Oktober) merupakan satu berita yang sangat ditunggu-tunggu oleh umat islam di negara ini.

"Pengumuman ini tentunya disambut dengan gembira oleh 444 syarikat pengendali umrah yang berlesen di bawah kementerian ini," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Bagaimanapun, Nancy menjelaskan, selaras dengan Peraturan 6(1A)(a), Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] yang mana menyatakan ‘Pengendali pelancongan berlesen tidak boleh mengiklankan pakej yang ditawarkan tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan’. 

"Sehubungan itu, sebagai salah satu inisiatif untuk menangani kes-kes penipuan pakej umrah, kementerian ini telah mewajibkan agar mana-mana syarikat yang dilesenkan untuk memohon kebenaran bagi mengiklankan promosi umrah. 

"Kementerian telah mengadakan sesi libat urus bersama-sama dengan persatuan-persatuan pengendali umrah iaitu PAPUH, MATTA dan BUMITRA untuk membantu pihak MOTAC merangka dan memperhalusi isu pengiklanan umrah ini," katanya. 

Tambah Ahli Parlimen Batang Sadong itu, berdasarkan sesi-sesi libat urus yang telah dijalankan, persatuan-persatuan berkaitan memahami dan menyokong inisiatif yang dilaksanakan oleh MOTAC demi memelihara kepentingan Keluarga Malaysia dan juga pemain industri umrah itu sendiri.

Tegasnya, sehingga kini, kementeriannya telah menerima sebanyak 31 permohonan iklan. 

"Setiap iklan yang diluluskan akan diberikan nombor siri khas iklan umrah yang perlu dipaparkan di iklan-iklan yang akan dipromosi. 

"Ini bertujuan untuk membantu kementerian mengenalpasti iklan-iklan haram pakej umrah yang mana borang permohonan iklan boleh di muat turun daripada laman web rasmi Kementerian di www.motac.gov.my," ujarnya. 

Selain itu, Nancy memberitahu, kementerian juga telah berbincang dengan persatuan-persatuan berkenaan bagi menetapkan harga lantai umrah yang mana penetapan kali terakhir ialah pada tahun 2017 iaitu pada paras harga RM4,900.00. 

"Bagaimanapun, selaras dengan perkembangan semasa, terdapat peningkatan kos memandangkan pelaksanaan SOP sama ada di pihak Arab Saudi atau di pihak kerajaan Malaysia. 

"Antara faktor-faktor yang mempengaruhi peningkatan kos adalah bilangan kapasiti di dalam bilik penginapan di Arab Saudi, kapasiti pergerakan pengangkutan yang membenarkan 50 peratus dari jumlah kapasiti sebenar dan pengurusan mutawif serta ujian swab COVID-19. 

"Harga Lantai yang telah dipersetujui untuk pengerjaan umrah untuk 12 hari dan 10 malam ialah RM6,900.00," jelasnya. 

Menurutnya, Harga Lantai akan disemak semula apabila wabak COVID-19 diisytiharkan berakhir dan keadaan sudah kembali normal yang mana kekangan SOP tidak lagi dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

Kata beliau lagi, harga ini juga merupakan panduan bagi pihak Kementerian dalam melaksanakan pemantauan terhadap industri umrah manakala orang ramai boleh menjadikannya sebagai panduan dalam membuat pertimbangan dalam memilih syarikat mana yang sesuai dengan bajet mereka. 

Justeru, beliau berharap orang ramai boleh mengambil langkah berhati-hati jika 
didapati harga yang ditawarkan terlalu rendah atau terlalu tinggi daripada yang telah ditetapkan bagi mengelak kes-kes penipuan pakej umrah. 

"Orang ramai boleh menghubungi pejabat MOTAC negeri atau melayari laman web rasmi MOTAC bagi mengenal pasti syarikat-syarikat yang dilesenkan. 

"MOTAC mengucapkan selamat mengerjakan ibadah umrah kepada Keluarga Malaysia yang bertuah dan terus mematuhi SOP ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan Arab Saudi," ujarnya.