Bangunan KWSP di Kuching. -Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menerima Anugerah Inovasi bagi kategori teknologi daripada Pensions & Investments (P&I) WorldPensionSummit 2021 bagi sistem e-Payroll.

Ia menerima anugerah itu bersempena Persidangan WorldPensionSummit di The Hague, Netherlands pada Khamis yang bertujuan mengiktiraf inovasi dalam komunikasi, reka bentuk pelan, teknologi dan pelaburan.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pengiktirafan itu akan menjadi dorongan kepada KWSP untuk terus berinovasi dan memberikan tahap perkhidmatan tertinggi, di samping memenuhi jangkaan ahli dan majikan.

Ini merupakan anugerah kedua yang diterima daripada WorldPensionSummit selepas merangkul Anugerah Komunikasi Inovasi 2016 untuk Khidmat Nasihat Persaraan (RAS).

Sistem e-Payroll KWSP dibangunkan khas untuk membantu perusahaan kecil sederhana yang menggunakan i- Akaun (Majikan), tetapi tidak mempunyai sistem penggajian atau kemampuan kewangan untuk menggunakannya.

Dilancarkan pada Jun 2021, e-Payroll KWSP membantu majikan untuk menyimpan rekod pekerja secara digital, sekali gus dapat meningkatkan kecekapan proses dengan mengurangkan masa yang diperlukan untuk menguruskan aktiviti berkaitan kewajipan berkanun. - BERNAMA