MERSING: Lebih 80 pengusaha bot hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing di sini semalam bagi menjalani ujian saringan air kencing dan COVID-19 bagi memastikan golongan tersebut tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah di samping menangani penularan pandemik di daerah ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (gambar) berkata inisiatif oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing itu merupakan langkah proaktif dalam usaha menjamin aspek keselamatan penumpang dan pelancong yang menaiki bot ke pulau-pulau peranginan di sekitar perairan Mersing.

Beliau berkata operasi hampir dua jam bermula 8 malam itu dijalankan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Laut dan ia akan dilaksana secara berterusan bagi memastikan pengusaha bot mematuhi peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan. 

"Terdapat tiga jeti penumpang yang sah di daerah ini iaitu Syahbandar, Penyabong dan Tanjung Leman, manakala terdapat kira-kira 30 jeti haram di sekitar perairan daerah ini.

"Justeru, pengusaha bot yang didapati tidak memperbaharui lesen mereka dalam tempoh dua tahun akan dibatalkan lesen mereka oleh Jabatan Laut," katanya pada sidang media di IPD Mersing di sini, malam tadi.

"Kita sedia maklum bahawa aktiviti rentas negeri telah dibenarkan dan yang pastinya ramai pengunjung akan menggunakan khidmat bot (untuk ke pulau), oleh itu kita tak mahu insiden tidak diingini berlaku. 

"Pada Jumaat (hari ini), 'team' IPD, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Polis Marin akan membuat pemeriksaan bagi memastikan mereka telah membuat saringan namun jika sebaliknya mereka tidak akan dibenarkan beroperasi.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata terdapat 95 syarikat yang berdaftar dengan Majlis Daerah Mersing dengan pemilikan kira-kira 200 bot.

Pada 7 Okt lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa murka atas kejadian pengemudi bot yang membawa bot secara berbahaya di bawah pengaruh dadah berdekatan Pulau Rawa di sini dengan baginda mengakui melihat sendiri kejadian itu.

Justeru, Sultan Ibrahim mengarahkan agar semua agensi penguatkuasaan untuk meningkatkan rondaan dan mengambil tindakan tegas.

Polis telah menahan dua lelaki yang merupakan tekong dan awak-awak bot pelancong berkenaan selepas didapati membawa bot secara berbahaya bersama lima yang lain dan hasil saringan mendapati kedua-dua lelaki terbabit didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Untuk rekod, Mersing mempunyai lima kepulauan utama iaitu Pulau Sibu, Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan Pulau Pemanggil. - BERNAMA