MOHD SHAHRIL OSIN



KOTA KINABALU: Kebenaran rentas daerah yang diumumkan kerajaan negeri semalam diyakini mampu merancakkan semula pelbagai sektor perniagaan di negeri ini, namun disebalik 'berita' baik tersebut, masyarakat diingatkan supaya terus memberi keutamaan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.


Ketua ARMADA BERSATU Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) berharap rakyat di negeri ini tidak mengabaikan SOP-SOP yang telah ditekankan sebelum ini memandangkan tiada sekatan pergerakan, bermula hari ini.


Jelas beliau lagi, sebagai rakyat Sabah yang prihatin, seluruh lapisan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dengan memastikan tahap pematuhan SOP dipertingkatkan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 dalam komuniti.


"Saya ingin mengajak seluruh rakyat di negeri ini supaya meningkatkan pematuhan dari masa ke semasa memandangkan kerajaan negeri telah memberikan kebenaran untuk merentas daerah dan juga negeri.


"Terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kerana telah mendengar suara dan keluhan rakyat di negeri ini. Tidak dilupakan juga kepada Datuk Seri Panglima Masidi Manjun kerana telah mempertimbangkan perkara ini setelah melihat dan menilai peratusan vaksinasi, " katanya.


Dalam pada itu, Shahril berharap rakyat di negeri Sabah yang belum lagi menerima sebarang vaksin supaya tampil mendapatkan suntikan imunisasi demi kebaikan semua pihak sekaligus mengurangkan lagi risiko penularan wabak COVID-19.


Jelas beliau, peratusan rakyat Sabah yang sudah lengkap mendapat vaksin masih belum mencapai tahap yang memuaskan dan situasi berkenaan dibimbangi akan memberi kesan kepada negeri untuk pulih segera daripada wabak pandemik.


"Saya juga ingin mengajak rakyat Sabah yang belum mendapat suntikan vaksin agar tampil melakukan perkara yang baik demi kesejahteraan seluruh rakyat di negeri ini. Ayuhlah kita bersatu menentang pandemik ini agar kita dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik dari hari ini, " katanya kepada Utusan Borneo.