BOURE: Tiga pendatang terkorban manakala seorang lagi cedera parah apabila mereka dirempuh kereta api di Perancis kelmarin, kata pihak berkuasa tempatan.

Empat mangsa itu sedang baring di landasan berhampiran stesen Saint-Jean-deLuz-Ciboure dan tidak sedar akan kedatangan kereta api pertama yang melaluinya sekitar jam 3 pagi, kata pendakwa raya Jerome Bourrier.

Beliau menjelaskan brek kecemasan kereta api itu tidak memadai untuk mengelak empat lelaki tersebut, yang kesemuanya merupakan warga Algeria berusia antara 21 dan 40 tahun.

Bourrier berkata mangsa keempat tidak lagi berada dalam keadaan kritikal dan dia dijadualkan untuk menjalani pembedahan.

Mangsa dipercayai telah menetap di Sepanyol buat sementara waktu sebelum menuju ke Perancis, dan Bourrier menyatakan salah seorang telah dihalau oleh pihak berkuasa Sepanyol.

“Kesemua mangsa berasal dari Algeria, dan tiga daripada mereka telah dikenakan tindakan undang-undang di Sepanyol ekoran kemusykilan tentang kedatangan mereka,” kata Bourrier.

Datuk bandar Eneko Aldana-Douat memberitahu bahawa salah seorang mangsa sudah dikenali oleh pihak polis, mencadangkan mereka telah menetap di Perancis buat seketika.

Sepanyol merupakan salah satu jalan masuk utama untuk pendatang ke Eropah, mencatatkan 16,586 kemasukan dalam tujuh bulan pertama tahun ini, menurut laporan oleh kementerian dalam negeri pada Ogos.

Angka itu adalah 50 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pada Ogos, seorang pendatang maut dalam cubaan menyeberangi sungai Bidasoa yang memisahkan Sepanyol dan Perancis. — AFP