SRINAGAR: Pasukan tentera kerajaan kelmarin membunuh lima suspek pemberontak di kawasan ditadbir India, Kashmir, sehari selepas kumpulan militan menembak mati lima anggota tentera.

Ia berlaku selepas kawasan bergolak yang menjadi rebutan India dan Pakistan itu digegarkan dengan beberapa penembakan rambang orang awam, dan minggu lalu tujuh mangsa terkorban dalam serangan yang diakui oleh kumpulan militan anti-India, The Resistance Front (TRF).

Dalam dua insiden berasingan, polis berkata lima orang dibunuh di kawasan majoriti Islam, Shopian.

Tiga daripadanya merupakan ahli TRF, dan polis menjelaskan salah seorang adalah penembak yang bertanggungjawab ke atas kematian penjaja jalanan minggu lepas.

Pegawai kanan Kashmir, Leftenan Jeneral Devendra Pratap Pandey berkata operasi tentera mereka tidak berhubung kait dengan pembunuhan orang awam.

“Saya tidak mengaitkan operasi ini dengan sebarang kejadian yang berlaku di Srinagar mahupun kawasan lain,” kata Pandey kepada wartawan.

Operasi dilaksanakan selepas pada Isnin lima tentera terbunuh di kawasan pergunungan berdekatan sempadan Garisan Kawalan (LoC), kawasan Kashmir pimpinan Pakistan.

Ia merupakan serangan paling maut ke atas pasukan tentera sejak gencatan senjata 2013 di sepanjang LoC yang diperbaharui pada Februari.

Dalam insiden lain pada Isnin, dua pemberontak turut terbunuh dan salah seorang daripadanya bertanggungjawab ke atas pembunuhan seorang pemandu teksi minggu lalu, kata polis.

Ketegangan semakin meningkat selepas kerajaan nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi menarik balik separa autonomi Kashmir pada Ogos 2019.

Hampir 200 orang termasuk 157 askar dan pemberontak telah terbunuh akibat keganasan di Kashmir setakat tahun ini.

Dalam 10 bulan lalu, sekurang-kurangnya 29 orang awam termasuk kakitangan parti politik pro-India telah ditembak mati, kata pihak berkuasa.

Pembunuhan orang awam yang terkini telah dicemuh di Kashmir dan di seluruh negara, termasuk ahli politik dari kedua-dua belah.

Pihak berkuasa memaklumkan bahawa sekurangkurangnya 650 orang yang terlibat dalam kumpulan keagamaan yang terlarang dan kumpulan militan telah ditahan dalam tindakan keras di kawasan Kashmir itu, ketika penyiasatan tentang kematian orang awam baru-baru ini.

Selama lebih tiga dekad, kumpulan pemberontak telah bertempur dengan tentera India untuk menuntut kemerdekaan atau penggabungan bersama Pakistan, mengorbankan berpuluh ribu nyawa. — AFP