Gambar fail AFP

BRASILIA: Rakan sepasukan Neymar dalam skuad kebangsaan Brazil, masih berharap agar penyerang berusia 29 tahun itu masih kekal dalam pasukan kebangsaan selepas Piala Dunia 2022, walaupun penyerang itu berkata kejohanan di Qatar tahun hadapan itu mungkin merupakan kejohanan terakhirnya.

Neymar berkata dalam satu temu bual disiarkan minggu ini bahawa dia tidak tahu sama ada dia akan mempunyai “kekuatan mental untuk mengharungi” lebih banyak bola sepak antarabangsa selepas Piala Dunia 2022 dan juga dia melihat kejohanan di Qatar seperti kejohanan terakhirnya.

Rakan sepasukannya menyuarakan pandangan mereka dan mengakui penyerang kelab Paris Saint Germain (PSG) itu berasa tertekan dengan jangkaan tinggi sebagai bintang ternama bola sepak Brazil.

“Kami mahu dia terus bersama kami untuk beberapa tahun lagi,” kata pemain tengah, Fred. “Tetapi ia sukar untuk bercakap tentang pemikiran seseorang. Kadang-kadang orang berdepan tekanan besar. Bukan hanya Neymar, tetapi (Lionel) Messi, Cristiano Ronaldo. Kami mahu dia di sini, dia adalah salah seorang pemain terbaik yang pernah kita lihat di Brazil.”

Pemain pertahanan, Thiago Silva, rakan baik Neymar, berkata pada satu sidang media bahawa tekanan ke atas Neymar adalah tidak adil apabila membandingkan pemain lain.

Neymar meninggalkan padang ketika seri tanpa jaringan dengan Colombia pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022 tanpa bercakap dengan media selepas aksi hambar.

“Kita mudah lupa dengan apa yang pernah dia lakukan dan lebih memberi fokus kepada perkara tidak penting. Dia memberikan banyak tekanan ke atas dirinya sendiri,” kata Silva sebelum kempen kelayakan Brazil diteruskan dengan perlawanan menentang Uruguay hari ini.

“Saya berharap dia tidak hilang kegembiraan, dia pemain yang istimewa. Apabila dia gembira dan melakukan apa yang dia suka, dia boleh sentiasa memberikan yang terbaik dan bermain seperti yang sering dilakukannya, dan ia juga bagus untuk pasukan.”

Rakan penyerang, Richarlison, yang tidak bermain kerana kecederaan, juga memberikan sokongan kepada Neymar dengan membuat ciapan: “Neymar, jika kamu bermain di syurga, saya rela mati untuk menyaksikan kamu bermain.”

Neymar mengharungi permulaan musim yang hambar di peringkat kelab selepas gagal memenangi kejuaraan Copa Amerika pertamanya bersama Brazil pada bulan Julai apabila tewas di final kepada Argentina.

Media tempatan mencadangkan Neymar mungkin akan direhatkan pada kalendar bola sepak antarabangsa bulan November untuk mengurangkan tekanan kepadanya.

Neymar mengharungi kempen Piala Dunia yang mengecewakan. Pada 2014 di Brazil, dia mengalami kecederaan pada perlawanan suku akhir menentang Colombia dan tidak bermain ketika Brazil dimalukan 1-7 oleh Jerman di separuh akhir.

Pada 2018 di Rusia, dia juga berasa kecewa apabila Brazil tewas kepada Belgium di suku akhir. -AFP