Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Sebanyak 6.43 juta premis di seluruh negara disediakan dengan akses gentian optik dalam Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa Satu sehingga 31 Ogos lepas, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin (gambar) berkata bagi tempoh sama dalam pelan tersebut yang bermula sejak September 2020, kelajuan jalur lebar mudah alih meningkat daripada 25 Megabits per saat (Mbps) kepada 31.34 Mbps.

Pada masa sama, menurutnya, perluasan liputan jalur lebar mudah alih 4G juga adalah daripada 91.8 peratus kepada 94.04 peratus di kawasan berpenduduk sehingga suku kedua tahun ini.

"Hampir 1.2 juta pelanggan 3G sedia ada telah beralih kepada 4G dan lebih 76,000 rangkaian 3G ditutup untuk menambah baik liputan dan kualiti perkhidmatan teknologi 4G," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Jefridin Atan mengenai perkembangan semasa dan pencapaian yang dicapai inisiatif JENDELA serta bagaimana pelan itu membantu perluasan capaian Internet jalur lebar dan penaiktarafan menara komunikasi di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menurut Zahidi sebanyak 362 menara baharu akan dibina menjelang penghujung 2022 melalui kaedah penyumbang utama.

Beliau berkata 1,661 menara baharu akan dilaksana secara kaedah tender terbuka di kawasan luar bandar dan pedalaman di seluruh negara melalui pelantikan Penyedia Perkhidmatan Sejagat Dilantik pada suku keempat tahun ini bagi melonjakkan kadar liputan 4G kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk di seluruh negara.

"Sementara di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak serta perkampungan Orang Asli, penyediaan perkhidmatan jalur lebar akan dipercepat melalui penyediaan perkhidmatan jalur lebar secara kolektif menggunakan teknologi satelit. 

"Bagi tujuan ini, sebanyak 839 lokasi di seluruh negara dikenal pasti bagi memastikan liputan jalur lebar di kawasan-kawasan yang sukar diakses dengan teknologi gentian optik dan mudah alih," katanya.

Beliau berkata perkhidmatan jalur lebar menggunakan teknologi satelit kini dalam proses pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat bermula November ini. - BERNAMA