KUALA LUMPUR: Sebanyak 12,456 kes sembuh COVID-19 direkodkan setakat 12 tengah hari tadi, mengatasi jumlah kes baharu iaitu 8,084 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (gambar).

Menurutnya, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh dalam negara adalah 2,240,345.

Dr Noor Hisham berkata daripada 8,084 kes baharu, sebanyak 8,063 adalah penularan tempatan manakala 21 lagi kes import.

“Sejumlah 98.4 peratus atau 7,951 daripada jumlah kes baharu hari ini melibatkan individu dalam kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan, manakala 1.6 peratus atau 133 kes pula kategori tiga, empat, dan lima,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 702 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 683 kes melibatkan wabak itu dan 19 lagi disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Bagi kes yang memerlukan bantuan pernafasan adalah 367 dengan 286 kes melibatkan COVID-19 serta 81 yang lain disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Selain itu, 17 kluster baharu dikenal pasti membabitkan sembilan kluster tempat kerja, empat kluster komuniti, tiga kluster kumpulan berisiko tinggi serta satu kluster institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sebagai persediaan ke arah fasa endemik, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menaik taraf perkhidmatan Pusat Penilaian COVID-19 dan antara inisiatif yang dilaksanakan adalah penambahbaikan penilaian kes COVID-19 di fasiliti kesihatan primer.

Bagi tujuan itu, beliau berkata klinik kesihatan akan melakukan ujian pengesahan bagi orang yang disyaki, selain individu bergejala boleh tampil ke klinik kesihatan berdekatan bagi menjalani pemeriksaaan dan penilaian kesihatan secara ‘walk-in’ atau janji temu bagi mengurangkan kesesakan, masa menunggu serta risiko jangkitan silang. 

“Selain itu, inisiatif melibatkan pemantauan kes COVID-19 oleh pengamal perubatan swasta (CAC GP) dengan kini terdapat 1,149 CAC GP yang diwartakan di seluruh Malaysia dengan 81 daripadanya aktif dalam menyediakan perkhidmatan pemantauan kes yang sedang menjalani isolasi di rumah,” katanya.

KKM turut melaksanakan penubuhan CAC Swasta (CACS) oleh pengamal perubatan swasta dengan menetapkan garis panduan kepada pihak yang ingin menyediakan perkhidmatan tersebut iaitu pemohon hendaklah pemegang perakuan daripada sesebuah klinik perubatan swasta berdaftar di bawah Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Pemohon juga perlu diwartakan sebagai Pegawai Diberi Kuasa di bawah Seksyen 3, Akta 342 bagi tujuan pemberian perintah pengawasan dan penjagaan di rumah serta pemakaian peranti pengawasan.

Selain perluasan CAC secara maya bagi individu positif yang tidak bergejala dan bukan dari golongan berisiko tinggi, KKM turut melaksanakan perkhidmatan Automated Voice Recording (Robocall) dengan individu yang melaporkan gejala akan menerima SMS dan panggilan Robocall untuk mereka hadir ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan lanjut. - BERNAMA