KUALA LUMPUR: Perjuangan melawan penularan COVID-19 belum berakhir, sebaliknya Malaysia kini menuju ke arah fasa endemik atau di medan perang baharu dengan strategi baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Setelah lebih banyak kelonggaran diberikan dan rentas negeri dibenarkan, beliau menggesa agar orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan ditetapkan kerajaan serta mengamalkan norma baharu.

Beliau berkata Malaysia telah berjaya menjauhi musibah seperti yang dilihat di banyak negara di serata dunia, bagaimanapun kita belum lagi keluar daripada bahaya dan hanya boleh memenangi ‘peperangan’ ini jika seluruh rakyat Malaysia bersama-sama bersatu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial untuk mematuhi SOP.

“Setiap daripada kita perlu memainkan peranan untuk memastikan Keluarga Malaysia selamat daripada COVID-19. Prinsip panduan kementerian adalah jelas dan tanggungjawabnya kini adalah kepada rakyat untuk melaksanakannya.

“Dunia tidak akan sama lagi. Kita semua perlu belajar bahawa setiap tindakan individu mempunyai kesan terhadap bagaimana kita menguruskan COVID-19 dalam masyarakat. Kita perlu membiasakan dan menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam kehidupan kita.

“Marilah kita membantu antara satu sama lain untuk memastikan insan tersayang terutama mereka yang mudah terjejas berada dalam keadaan selamat, pastikan Malaysia selamat dan mendapat kemenangan di akhir peperangan menentang musuh yang tidak kelihatan,” katanya dalam hantaran Facebook beliau malam tadi.

Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perjalanan rentas negeri dibenarkan berkuat kuasa Isnin lepas dan semua aktiviti pelancongan tempatan dibenarkan selepas lebih 90 peratus populasi dewasa di seluruh negara lengkap divaksinasi.

Hujung minggu ini dijangkakan lebih banyak pergerakan rentas negeri apabila ramai yang ingin pulang ke kampung halaman, justeru Dr Noor Hisham mahu rakyat merancang dan melakukan apa yang perlu untuk mematuhi SOP dan mengamalkan norma baharu seperti memastikan semua orang mengamalkan penjarakan fizikal dan melakukan sanitasi di kawasan yang biasa disentuh secara berkala. 

Dalam pada itu, beliau turut memberi penghormatan dan penghargaan kepada semua kakitangan barisan hadapan dan mereka di belakang tabir yang telah memainkan peranan penting dalam melandaikan keluk.

“Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua di Kementerian Kesihatan, bekerja sebagai pasukan menuju matlamat yang sama untuk mengawal penularan COVID-19 di negara yang kita cintai ini,” katanya. - Bernama