Abang Johari pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Belanjawan Negeri 2022 di BCCK, semalam. Turut kelihatan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar. - Gambar Unit Komunikasi Awam Sarawak

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan Belanjawan Negeri Sarawak 2022 berjumlah RM 10.136 bilion dengan memfokus kepada meringankan beban rakyat impak pandemik COVID-19.

Beliau berkata Belanjawan Negeri 2022 dirumuskan dengan berlatarbelakangkan prestasi ekonomi global dan domestik ramalan pertumbuhannya pada tahun depan.

“Untuk tahun 2022, bajet kita ialah berjumlah RM10.136 bilion, dan kita, seperti mana saya sebutkan, ada mempunyai pendapatan sebanyak 10.036 bilion dan tetapi kita akan membelanjakan RM10.646 bilion. Bermakna kita akan mempunyai sedikit defisit (sebanyak RM600 juta).

“Bajet ini adalah belanjawan pengembangan, iaitu dalam masa yang tidak menentu ini, kita memberikan tumpuan kepada keadaan rakyat, kehidupan dan kesejahteraan rakyat. Oleh sebab itulah kita nampak dalam bajet 2022 kita banyak memberi peruntukan untuk membantu rakyat dalam masa yang genting ini.

“Alhamdulilah kita mempunyai kewangan kukuh dan banyaklah program-program yang kita laksanakan yang akan membantu rakyat kita dalam keadaan pandemik atau pun kesan pandemik pada tahun 2022,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Belanjawan Negeri 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Abang Johari berkata ini adalah kali pertama mesyuarat seumpama itu diadakan bagi berkongsi Belanjawan Negeri 2022 dengan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri disebabkan Perintah Darurat masih berkuatkuasa di negeri ini.

“Ketua Menteri mempunyai kuasa untuk meluluskan peruntukan daripada Dana Disatukan (Consolidated Fund) bagi perbelanjaan operasi kita untuk tempoh setahun.

“Walaupun saya, atau pihak kuasa negeri mempunyai kuasa, untuk memastikan tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntibiliti, pihak saya telah memutuskan untuk sampaikan kenyataan hari ini dan berkongsi bajet ini bersama-sama ahli-ahli yang berhormat.

“Jadi, saya tegaskan, ini hanya untuk memaklumkan Belanjawan Negeri yang telah kita luluskan untuk 2022. Ini antara kuasa yang saya ada di bawah Perintah Darurat,” katanya menjawab soalan daripada media.

Abang Johari menambah semasa Mesyuarat Khas itu, semua yang hadir menyatakan mereka bersetuju dengan perkara diputuskan untuk Belanjawan Negeri 2022.

“Kita memberi peluang kepada pembangkang dan kerajaan (memberi maklum balas semasa mesyuarat),” katanya.

Terdahulu pada sidang media itu Abang Johari yang juga Menteri Kewangan membaca Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, yang memperuntukkan, sebarang perbelanjaan atau pengeluaran dariapda Dana Disatukan Negeri, boleh dilakukan dengan kelulusan Ketua Menteri atau pihak berkuasa kewangan negeri semasa Darurat berkuat kuasa.

Menjelas lanjut mengenai Belanjawan Negeri 2022, beliau berkata ia mempunyai lapan strategi Strategik iaitu Melindungi Kehidupan dan Pendapatan Rakyat, Memacu Pemulihan Ekonomi, Memudahkan dan Mempertahankan Pemulihan Perniagaan,Transformasi Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar, Membangunkan Sumber Manusia, Mempercepatkan Penggunaan Digital dan Data, Menyeimbangi Pertumbuhan Ekonomi dengan Kemampanan Alam Sekitar dan Memperkukuhkan Kapisiti dan Perkhidmatan Kerajaan.

Sementara itu berdasarkan Dokumen Belanjawan Negeri 2022 yang diberikan kepada media, sejumlah RM4.046 bilion daripada RM10.646 bilion belanjawanan 2022 akan digunakan untuk perbelanjaan opeprasi manakala RM 6.6 bilion akan disalurkan kepada Akaun Dana Pembangunan bagi membiayai pelaksanaan pelbagai projek serta program pembangunan.

Manakala sejumlah RM7.509 bilion akan disediakan untuk Anggaran Perbelanjaan Pembangunan di bawah Belanjawan 2022 yang akan diagihkan kepada sektor-sektor utama seperti sektor ekonomi (RM5.371 bilion), sektor sosial (RM1.905 bilion) dan sektor pentadbiran am (RM233 juta).