KUALA LUMPUR: Unit khusus peringkat Persekutuan dan di pejabat daerah akan ditubuhkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi menangani isu kemiskinan dan kesenjangan pendapatan dalam kalangan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Ketika membentangkan RMK12 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata unit khusus itu juga merupakan inisiatif bagi membasmi kemiskinan tegar untuk memastikan rakyat miskin termasuk miskin bandar dibantu melalui pendekatan keseluruhan negara.

“Unit ini akan bertanggungjawab menyelaras pangkalan data secara bersepadu serta semua program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan, sektor korporat dan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO).

“Dengan adanya pegawai yang diberi tugas khusus untuk menguruskan perihal kemiskinan pada peringkat daerah, saya yakin kemiskinan tegar dapat dibasmi pada 2025,” katanya.

Beliau berkata usaha yang lebih bersepadu akan dilaksana untuk meningkatkan pendapatan dan menangani kenaikan kos sara hidup isi rumah B40 serta kumpulan mudah terjejas.

Bagi tujuan itu, bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial akan diteruskan kepada mereka yang layak.

“Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di luar bandar dengan kos sebanyak RM1.5 bilion akan diperkukuh bagi meningkatkan kebolehpasaran, kesejahteraan dan kuasa beli keluarga B40,” katanya

Ismail Sabri turut memaklumkan kerajaan tidak boleh bersendirian dalam perjuangan menyelesaikan isu kemiskinan rakyat, justeru beliau menyeru sektor korporat dan orang perseorangan supaya membantu Keluarga Malaysia keluar dari kepompong kemiskinan.

“Sekecil mana pun bantuan yang dihulurkan, termasuk melalui sumber pembiayaan alternatif seperti zakat dan wakaf jika digembleng akan membawa manfaat yang besar,” katanya.

Perdana menteri berkata kemiskinan pada hari ini juga dilihat dari pelbagai dimensi selain kewangan, sehubungan itu dalam aspek pendidikan, lebih ramai murid daripada keluarga B40 akan diberi keutamaan untuk kemasukan ke sekolah berprestasi tinggi dan pemberian biasiswa.

“Dalam aspek kesihatan pula, akses kepada penjagaan kesihatan akan diperluas. Isu kekurangan zat dan tumbesaran dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga B40 semakin meningkat dan untuk tujuan itu, isu ini akan ditangani secara komprehensif termasuk melalui makanan berkhasiat,” katanya

Bagi meningkatkan keupayaan, kemahiran dan daya saing mencari pekerjaan golongan M40, Ismail Sabri berkata program latihan dan latihan kemahiran semula serta aktiviti keusahawanan akan ditingkatkan.

“Mereka juga akan digalakkan untuk melanggan insurans kesihatan dan pekerjaan pada kadar yang mampu dibayar.

“Selain itu, kita akan memastikan anak-anak M40 mendapat akses kepada pendidikan berkualiti pada kos yang berpatutan,” katanya. - Bernama