KUALA LUMPUR: Langkah bagi memperkukuh keselamatan dan ketenteraman awam untuk tempoh lima tahun akan datang akan ditumpu kepada menambah baik usaha mencegah jenayah, membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah, serta mengekang pemerdagangan orang.

Selain itu, langkah juga akan diambil untuk menambah baik respons dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan, demikian menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi.

RMK12 dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut dokumen itu, usaha mencegah jenayah akan terus dipergiat melalui pelaksanaan pelbagai program yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sektor swasta dan rakyat, selain meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan jenayah menerusi kempen dan program kesedaran awam melalui media sosial.

“Penglibatan agensi keselamatan dan penguatkuasaan akan dipergiat terutama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM, dalam mengekang ancaman jenayah siber seperti Macau Scam, penipuan e-dagang dan perjudian dalam talian,” demikian menurut dokumen itu.

Selain itu, undang-undang berkaitan dadah akan disemak semula bagi memperluas definisi dadah dan bahan terlarang bagi merangkumi bahan psikoaktif baharu (NPS) dan ketum, dan peruntukan undang-undang berkaitan akan dipinda supaya penagih yang tidak terlibat dengan jenayah, tidak disenarai dalam daftar penjenayah.

Pendekatan bagi membendung pemerdangangan manusia pula akan merangkumi pencegahan dan pendakwaan pemerdagangan orang, serta perlindungan kepada mangsa selaras dengan ‘United Nations Convention againts Transnasional Organised Crime’ (Palermo Protocol) dan indikator menyeluruh akan dibangunkan untuk mengenal pasti mangsa dan melapor jenayah berkenaan.

Mengenai pengurusan dan operasi penjara, dokumen itu menyebut pelan yang menyeluruh akan dirangka untuk menambah baik pusat tahanan serta program pemulihan dan koreksional, dengan keupayaan dan kemampuan anggota penjara akan dipertingkat untuk menyokong usaha itu.

“Pesalah dadah di bawah Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952 ditempatkan secara berasingan dengan banduan lain. Alternatif pemenjaraan pula akan diperluas dengan mengadakan lebih banyak program percubaan dan pemulihan dalam komuniti,” menurut dokumen itu.

Untuk langkah menambah baik kesiapsiagaan menghadapi kecemasan pula, dokumen itu menyebut fasiliti dan aset akan dinaik taraf bagi meningkatkan keupayaan agensi dalam menyediakan perkhidmatan kecemasan, termasuk menggalakkan penyertaan sukarelawan komuniti setempat dalam Pasukan Tindakan Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT-C) yang akan dilatih untuk diiktiraf sebagai ahli tindak balas kecemasan.

“Sistem panggilan kecemasan dan Sistem Penggera Awam akan dinaik taraf untuk mempercepat masa respons dan perkhidmatan bomba sukarela akan diperluas ke kawasan FELDA,” menurut dokumen itu. - Bernama