SEREMBAN: Seorang lelaki warga Bangladesh dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan nombor pasport dan nama individu lain bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, bulan ini. 

Tertuduh, Mizan Nur Rahman, 26, turut dipenjara tiga bulan kerana didapati tidak memiliki pas yang sah untuk masuk ke negara ini.

Majistret Norzaliza Tesmin memerintahkan hukuman berkenaan dijalankan serentak berkuat kuasa 24 September 2021 dan tertuduh dihantar ke Penjara Jelebu bagi menjalani hukuman berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Mizan didapati memperdaya seorang petugas di pusat pemberian vaksin (PPV) untuk mendapatkan suntikan vaksin dengan mengatakan dirinya adalah pemilik kepada nombor pasport milik seorang individu lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di PPV Institut Pengajian Tinggi Mega Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, kira-kira 10 pagi pada 13 September lepas, yang mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mizan yang juga pekerja pembersihan di Hospital Tuanku Ja’afar di sini, didapati tidak memiliki apa-apa pas yang sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6 (3) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali dan boleh juga dikenakan maksimum enam sebatan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA