OPERASI:Anggota bomba menjalankan kerja pemadaman supaya api tidak merebak ke rumah berhampiran.

BELURAN: Sebuah rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Kolapis Pasir, di sini pagi tadi.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.37 pagi.

“Seramai Sembilan anggota bomba daripada  Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi memadam dan menyelamat.

“Selain itu, lima anggota bersama sebuat jentera daripada BBP Kinabatangan turut memberikan bantuan di lokasi terbabit,” katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati sebuah rumah jenis tidak kekal telah terbakar hampir keseluruhannya,” katanya.

“Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi memadam menggunakan sumber air daripada tangki jentera supaya api tidak merebak ke kawasan lain.

“Pasukan bomba dapat mengawal kebakaran kira-kira jam 12.07 tengah hari dan operasi ditamatkan selepas semua lokasi kejadian betul-betul selamat,” katanya.

Katanya, setakat ini, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.

“Siasatan akan dijalankan oleh pasukan bomba untuk mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa,”katanya.