BEIJING: Presiden China Xi Jinping berkata kerajaan menyokong usaha pembaharuan dilaksanakan di Zhongguancun, Beijing yang bertujuan menjadikan kawasan itu taman sains dan teknologi termaju dunia.

Beliau berkata usaha itu sekali gus menyumbang kepada pertukaran dan kerjasama antarabangsa dalam bidang inovasi sains dan teknologi.

“Zhongguancun merupakan kawasan demonstrasi inovasi pertama di China. Kawasan itu juga merupakan platform peringkat negara berfungsi meningkatkan pertukaran serta kerjasama antarabangsa dalam bidang inovasi sains dan teknologi, “ katanya dalam perutusan tahniah sempena perasmian Forum Zhongguancun 2021 pada Sabtu.

Xi berkata dunia sekarang mengalami perubahan besar yang belum pernah berlaku sebelum ini dan kesan pandemik COVID-19 terhadap dunia akan berlarutan untuk jangka masa panjang.

“Pemulihan ekonomi dunia menghadapi cabaran serius. Pelbagai negara perlu meningkatkan keterbukaan dan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi untuk mencari kaedah menangani isu global penting melalui inovasi sains dan teknologi,” katanya.

Beliau berkata pandangan yang berwawasan terhadap masyarakat antarabangsa diperlukan untuk mewujudkan pembangunan sains dan teknologi selain memenuhi permintaan baharu manusia dalam kehidupan perlu diutamakan.

“China menumpukan kepada inovasi sains dan teknologi, dan komited memperkasakan kerjasama antarabangsa untuk mendorong kemajuan dan transformasi hasil penyelidikan saintifik,” katanya.

Selain itu katanya dalam usaha untuk meningkatkan kesejahteraan kehidupan manusia, China turut memupuk penggerak baharu pembangunan ekonomi, meningkatkan perlindungan hak harta intelek, membina iklim inovasi yang baik serta menyempurnakan tadbir urus sains dan teknologi global. - BERNAMA