Abang Johari mencuba alat cerapan di Pusat Falak Miri, Luak Esplanade hari ini. - Gambar Unit Komunikasi Awam Sarawak

MIRI: Kerajaan negeri mahu mengembangkan ilmu falak kerana ia mempunyai peranan penting dalam pembangunan teknologi digital, astronomi dan persiapan menghadapi fenomena alam.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ilmu falak bukan hanya untuk mengesahkan kedatangan Ramadan, namun sebenarnya mempunyai peranan begitu luas dalam kehidupan manusia.

Katanya, penguasaan ilmu falak dapat mempersiapkan rakyat menghadapi perubahan fenomena seperti perubahan iklim, banjir dan pasang surut air. 

“Sebagai contoh saya berbual dengan Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin tentang banjir yang berlaku di Long Lama dan Marudi.

“Dalam hal ini, pengetahuan dan kajian falak dapat digunakan untuk meramalkan musim hujan dan persiapan awal dapat dilakukan. Data mesti mesti tepat dan ini bergantung dengan ilmu falak,” katanya berucap merasmikan Pusat Falak Miri di Luak Esplanade hari ini.

Beliau berkata, sejak awal penemuan kajian astronomi, bidang ini penting dalam memerhatikan apa yang berlaku di alam semesta.

“Malah kalendar Cina mempunyai kaitan dengan kajian bulan. Jadi, saya percaya pendidikan falak dapat memainkan peranan penting. Pada masa depan, ilmu falak amat penting kerana semua gajet kita dan komunikasi bergantung dengan pengetahuan ini," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan di bawah pimpinan beliau akan terus mengembangkan pendidikan ilmu falak.

Malah beliau dalam ucapan membayangkan akan wujud pusat pengembangan ilmu falak seumpama itu pada masa hadapan, bukan hanya di Miri.

Mengenai Pusat Falak Miri, Abang Johari berkata ia dapat dijadikan pusat untuk kajian sains dan astronomi.

“Saya galakkan pelajar-pelajar Islam dan bukan Islam memanfaatkan pusat ini untuk menambah ilmu berkaitan angkasa lepas. Malah penuntut Curtin Malaysia boleh menggunakan tempat ini untuk melakukan penyelidikan,” katanya.

Pusat Falak Miri dibina oleh Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS) pada 5 Sep 2019 dan siap pada 13 Julai dengan kos pembinaan sebanyak RM4.5 juta dibiayai kerajaan negeri.

Ia diserahkan kepada JMNS pada 13 Ogos tahun ini.

Pemilihan Luak Esplanade Miri adalah paling tepat memandangkan Stesen Tanjong Lobang dan lokasi lain tidak sesuai untuk dijadikan pusat falak kerana faktor muka bumi.

Pusat Falak Miri ini akan menjadi pusat takwim dan cerapan, pusat penyelidikan dan pengembangan ilmu falak dan astronomi serta pusat astro pelancongan yang dilengkapi dengan sistem teknologi yang canggih dan terkini.

Hadir sama Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam & DBKU), Menteri Muda Bekalan Air Datuk Dr. Haji Abdul Rahman Junaidi, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Yang DiPertua Majlis Islam Sarawak Datuk Haji Misnu bin Haji Taha dan Mufti Negeri Sarawak Kipli Yassin.