Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Remaja yang mempunyai sejarah masalah kesihatan atau yang memiliki komorbiditi perlu diutamakan dalam pemberian vaksinasi COVID-19 kerana golongan ini berisiko tinggi mendapat implikasi yang lebih serius akibat jangkitan virus itu.

Pakar kanak-kanak Hospital Raja Perempuan Zainab II Dr Nik Khairulddin Nik Yusoff berkata terdapat laporan dari seluruh dunia mengenai kanak-kanak dan remaja yang mengalami kesan teruk apabila dijangkiti COVID-19, termasuk beberapa kes kematian.

“Kebanyakan mereka sudah mempunyai penyakit kronik yang mendedahkan mereka kepada keadaan yang serius serta lebih cenderung mendapat komplikasi disebabkan COVID-19, termasuklah risiko dijangkiti penyakit yang jarang berlaku tetapi sangat serius, iaitu Sindrom Keradangan Mutilsistem pada kanak-kanak (MIS-C) ,” katanya semasa sesi taklimat ringkas kepada media tentang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan PICK Remaja, secara dalam talian, pada Khamis.

Bagaimanapun, katanya majoriti remaja yang dijangkiti virus itu tidak mengalami gejala atau bergejala ringan yang boleh sembuh sendiri.

“Terkini, dilaporkan kadar kanak-kanak dan remaja yang dijangkiti COVID-19 telah meningkat, justeru keputusan untuk memberi vaksin kepada golongan ini adalah tepat pada masanya dan mesti dipercepatkan,” kata Dr Nik Khairulddin.

Sehingga 21 September lepas, statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan terdapat trend peningkatan jangkitan COVID-19 terhadap kanak-kanak (individu berumur 18 tahun ke bawah) di Malaysia, iaitu daripada 12,620 kes yang dicatatkan tahun lepas melonjak ke 410,762 kes tahun ini, manakala 75 kes kematian COVID-19 kanak-kanak dilaporkan tahun ini berbanding hanya enam kematian tahun lepas.

Program PICK Remaja bermula secara rasmi Isnin lepas dan menyasarkan vaksinasi COVID-19 kepada 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sebelum pembukaan sekolah bulan depan. - BERNAMA