KUCHING: Sebanyak 19 lokaliti di Sarawak diarahkan untuk menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Ia melibatkan daerah Sri Aman, Tatau, Sebauh, Subis, Lubok Antu, Pakan, Julau, Betong dan Sarikei. 

“PKPD dikuatkuasakan dari 14 hingga 27 September 2021 bagi empat lokaliti di Sri Aman iaitu Rh. Buyung, Lepong Simpai, Rh. Elie, Sabu Baroh, Rh. Sparrow Anyan, Bait Baru dan Rh. Rose Emma Stanley Gate, Temudok Atas.

“Turut menjalani PKPD dalam tempoh sama adalah Kuarters Pekerja Tamar Estate, Semanok di Tatau dan Rumah John Anak Damu, Sg. Labang, KM 60, Jalan Bintulu-Miri di Sebauh,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, JPBNS berkata dua lokaliti di Subis iaitu Rumah Gingdan Anak Mancha Gudang Atas Sibuti dan Rumah Mokeng Anak Tambom Gudang Tengah Sibuti dikenakan PKPD dari 14 hingga 28 September 2021.

“Sementara itu, Rh. Empading, Kampung Bunu, Skrang di Lubok Antu, tiga lokaliti di Sri Aman, dua lokaliti di Pakan dan satu di Julau, diperintahkan menjalani PKPD dari 15 hingga 28 September 2021.

“Di Betong, Rh. Amin, Saka, Rh. Francis Ajie, Buyong Baru dan Rh. Jambai, Kerapa dikenakan PKPD mulai 16 hingga 29 September 2021,” ujarnya sambil menambah, Rh. Anggey, Sg. Kerubong, Selalang di Sarikei turut menjalani PKPD dalam tempoh sama. 

Dalam pada itu, JPBNS turut memaklumkan Rh. Engkabi, San Semanju di Lubok Antu dilanjutkan PKPD iaitu dari 15 hingga 29 September 2021.
 
“Manakala PKPD membabitkan Rh. Langan, Ng. Mara dan Rh. Lugat, Penyelanih Kiba di Betong masing-masing dilanjutkan dari 16 hingga 29 September 2021,” katanya.

Sementara itu, sejumlah 20 lokaliti ditamatkan PKPD pada hari ini (15 September 2021).

Ia katanya, membabitkan satu lokaliti di Pusa, Betong (7), Sri Aman (3), Subis (7), Marudi (1) dan Julau (1).

“Selain itu, lima lokaliti di Bintulu ditamatkan PKPD pada 16 September 2021. Begitu juga dengan dua lokaliti di Sebauh dan tiga lokaliti di Tatau, PKPD ditamatkan dalam tempoh sama,” katanya.

Mengenai laporan notis kompaun, polis Sarawak telah mengeluarkan 27 notis kompaun iaitu 20 di daerah Kuching, Sibu (4), Bintulu (2) dan Mukah (1) kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP). 

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kompaun dikeluarkan polis Sarawak sehingga kini sebanyak 10,776.

Antara kesalahan dilakukan adalah gagal mengimbas QR Code MySejahtera atau mencatat kehadiran sebelum memasuki premis (26) dan tiada permit merentas daerah (1).

Manakala Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak pula mengeluarkan satu notis kompaun dibawah Majlis Perbandaran Kota Samarahan atas kesalahan tidak mengemaskini buku daftar pelanggan (1).

Dengan ini sebanyak 1,484 notis kompaun telah dikeluarkan di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, setakat ini.