KUALA LUMPUR:Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengambil langkah-langkah terancang khususnya dalam membantu pembukaan semula sektor ekonomi secara berfasa serta selamat bagi mengurangkan kadar pengangguran.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pembukaan sektor pengilangan masih tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard yang ketat dan kadar vaksinasi pekerja, diambil berdasarkan kepada keperluan ekonomi negara untuk kekal berdaya saing serta memastikan rantaian bekalan tidak terencat dan pelaburan tidak terjejas.

“Saya ingin mengambil contoh satu sektor iaitu sektor elektrikal dan elektronik (E&E). Keputusan kerajaan untuk membenarkan sektor E&E dibuka sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), PKP diperketatkan di Selangor, Seremban dan Senai serta Pelan Pemulihan Negara adalah berdasarkan fakta dan data bagi mengimbangi keperluan kesihatan awam dan kelangsungan kehidupan rakyat,” tambahnya. 

Azmin berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan lisan (Pejuang-Jerlun) Datuk Seri Utama Mukhriz Tun Dr Mahathir mengenai rasional lebih banyak kilang dibenarkan untuk beroperasi ketika jumlah kes COVID-19 di dalam negara semakin meningkat. 

Sektor E&E merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara, dengan nilai RM20.77 bilion atau 25.4 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pembuatan pada suku kedua tahun 2021.

Manakala segi eksport sehingga Jun 2021, sektor tersebut menyumbang sebanyak RM386.29 bilion atau kira-kira 40 peratus daripada nilai keseluruhan eksport barangan dan telah menyediakan lebih 400,000 pekerjaan.

“Sekurang-kurangnya 20,000 syarikat berstatus PKS terlibat di dalam rantaian bekalan kepada pengilang-pengilang tersebut. Fakta-fakta ini memperlihatkan kepentingan kesinambungan operasi sektor ini bagi menjamin kelangsungan ekonomi negara terutamanya dalam sektor pengilangan,” kata Azmin.

Beliau turut menjelaskan kes positif baharu yang dilaporkan dalam sektor E&E adalah 9,026 kes, merangkumi hanya 2.2 peratus daripada bilangan keseluruhan kes harian terkumpul yang direkodkan dalam tempoh  di antara 1 Jun hingga 23 Julai 2021, mengikut data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan. 

“Oleh yang demikian, saya berpendapat pendekatan penutupan atau lockdown secara bersasar adalah lebih efektif daripada kita mengambil pendekatan mudah dengan menutup semua kilang, walaupun tidak berlaku lonjakan kes, yang mana tindakan ini boleh menjejaskan mata pencarian ramai rakyat Malaysia,” katanya. - Bernama