Gambar arkib menunjukkan mereka yang menjalani kuarantin di hotel ketika memasuki Sarawak.

KUCHING: Mereka yang lengkap vaksin COVID-19 diberi pengecualian kuarantin apabila tiba Sarawak, berkuatkuasa 16 September 2021.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memaklumkan keputusan itu dibuat setelah menilai situasi COVID-19 di Sarawak dan negeri-negeri lain.

“Setelah mempertimbangkan peningkatan jumlah individu yang telah melengkapkan vaksinasi di seluruh negara, Kerajaan Sarawak memutuskan individu yang masuk ke negeri ini mendapat pelepasan dari kuarantin bagi individu berstatus ‘lengkap vaksinasi’.

“Mereka hanya perlu memohon dalam EnterSarawak dan mengisi eHealth Declaration Form (eHDF). Seterusnya, sertakan bukti status 'lengkap vaksinasi', keputusan RT-PCR NEGATIF (sah untuk 3 hari saja) dan lain-lain maklumat peribadi yang berkaitan,” maklum JPBNS menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah JPBNS, kanak-kanak dan remaja bawah umur 18 tahun yang memasuki Sarawak bersama penjaga yang telah lengkap vaksinasi akan diberi pelepasan dari kuarantin.

“Namun, mereka adalah dinasihati agar menjalankan pemantauan kendiri di rumah selama sepuluh hari,” katanya lagi.

JPBNS turut memaklumkan individu yang belum divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi perlu menjalani arahan kuarantin selama sepuluh hari jika hendak masuk ke Sarawak.

“Mereka yang belum divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi perlu memohon dalam EnterSarawak dan Isi eHealth Declaration Form (eHDF),

“Sertakan keputusan RT-PCR NEGATIF (sah untuk tiga hari saja) dan lain-lain maklumat peribadi yang berkaitan,” ujarnya sambal menambah, individu akan menjalani kuarantin selama sepuluh hari di hotel kuarantin yang ditetapkan.

Dalam pada itu, JPBNS berkata tiada perubahan Garis Panduan bagi individu yang masuk dari luar negara.

Menurutnya, ‘lengkap vaksinasi’ bermaksud individu berkenaan telah menerima dua dos vaksinasi COVID-19 (Pfizer/Sinovac/AstraZaneca), dengan suntikan kedua dos diterima selepas 14 hari.

Bagi vaksin satu dos membabitkan CanSino dan Jansen, 28 hari selepas dos pertama.