Nancy pada taklimat itu semalam.

KUALA LUMPUR: Pengumuman pembukaan sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung pelancongan berdasarkan syarat ditetapkan, akan membolehkan Pelan Pemulihan Pelancongan dilaksanakan secepat mungkin. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata beliau yakin pembukaan pelancongan domestik secara berperingkat, mengikut fasa itu dapat memberikan sinar buat penggiat industri itu di negara ini. 

“Kebetulan juga hari ini saya dan Timbalan Menteri MOTAC, Datuk Seri Dr Santhara Kumar diberi taklimat oleh Pengurusan Tertinggi MOTAC yang diketuai oleh Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat tentang Pelan Pemulihan Pelancongan yang berpaksikan kepada Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 dan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN).

“Justeru, saya dan seluruh keluarga besar MOTAC amat menyambut baik berita gembira ini kerana ia membolehkan Pelan Pemulihan Pelancongan yang telah dibentangkan tadi dapat dilaksanakan segera bagi memulih semula industri pelancongan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau semalam. 

Mengenai projek rintis Pulau Langkawi yang akan bermula pada 16 Sept ini, Nancy berkata ia merupakan berita gembira buat MOTAC dan penggiat industri terutama pekerja yang sudah lama terjejas teruk berikutan penutupan hotel dan restoran di pulau peranginan tersebut akibat krisis pandemik COVID-19.

Menurut Nancy, Pulau Langkawi dipilih sebagai projek lapangan ujian untuk menyemarakkan kembali industri pelancongan yang telah lama terjejas akibat penularan COVID-19, memandangkan pulau itu terasing sekali gus memudahkan urusan pemantauan. 

“Destinasi rintis yang dipilih ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri seperti mempunyai rangkaian penerbangan serantau dan antarabangsa, serta mempunyai kepelbagaian kemudahan penginapan bagi pelbagai lapisan segmen pelancong.

“Sekiranya projek rintis Pulau Langkawi ini berjalan dengan jayanya, saya percaya ia dapat mengembalikan keyakinan rakyat untuk melancong kerana seeing is believing,” katanya.

Dalam kenyataan media semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang kini dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung pelancongan berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

Ismail Sabri berkata sebagai permulaan, Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 Sept ini manakala destinasi pelancongan lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus. - BERNAMA