CENDERAHATI: Sufri (tiga kiri) menyampaikan cenderahati kepada wakil PKK Tawau.

KALABAKAN: Seramai lebih 500 pekerja Sawit Kinabalu Sdn Bhd di Ladang Kalabakan menerima vaksin COVID-19 satu dos jenis CanSino, di sini kelmarin.

Program suntikan vaksin yang dijalankan di Dewan Serbaguna Ladang Kalabakan itu juga turut diberikan kepada keluarga mereka dan pekerja ladang berhampiran.

Pengurus Kanan Sumber Manusia Kumpulan Sawit Kinabalu Mohd Sufri Mohd Hajar berkata program tersebut adalah usaha untuk memberikan vaksin kepada semua pekerja ladang di sini.

“Melalui kerjasama antara Kumpulan Sawit Kinabalu dan Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau, program tersebut berjaya direalisasikan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa menghadiri program vaksinasi tersebut yang turut dihadiri Pengurus Besar Wilayah Tawau, Zarkarni Samsul.

Menurutnya, inisiatif itu selaras dengan saranan Pengarah Urusan Sawit Kinabalu, Bacho Jansie yang mahukan semua pekerja ladang dan tanggungan yang layak divaksin menerima suntikan itu sebelum bulan Oktober depan.

Dalam pada itu, katanya, Kumpulan Sawit Kinabalu komited membantu kerajaan dalam menangani masalah COVID-19 di negeri ini, sekali gus membantu mewujudkan imuniti kelompok.

“Ia termasuklah menyediakan tempat untuk program vaksinasi terutamanya di kawasan luar bandar bagi memudahkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kumpulan Sawit Kinabalu juga sudah beberapa kali menjalankan program outreach vaksinasi bersama KKM di daerah lain sebelum ini,” katanya.

Sufri menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak PKK Tawau kerana memberikan kerjasama dan keutamaan kepada pekerja Sawit Kinabalu.

PEKERJA: Antara pekerja ladang yang hadir menerima vaksin di Dewan Serbaguna Ladang Kalabakan.

Sementara itu, pekerja ladang Mohd Alif Husen berkata, program vaksinasi yang dijalankan di ladang ini memudahkan mereka untuk menerima vaksin COVID-19.

“Saya bersyukur kerana tidak perlu datang ke bandar Tawau untuk menerima vaksin memandang kami tinggal di kawasan ladang ini.

“Kami sangat berterima kasih kepada syarikat Sawit Kinabalu kerana mengambil berat soal kebajikan semua pekerja di ladang Kalabakan,” katanya.

Bagi Nordin Tawakala pula berkata, program yang diadakan di kawasan ladang ini memang sangat bertepatan kerana mereka tidak perlu bersusah payah datang ke bandar Tawau.

“Selain menempuh perjalanan lebih 2 jam ke bandar Tawau, kami juga sukar mendapatkan kenderaan keluar dari ladang ini.

Justeru, dengan adanya vaksinasi di ladang tempat kami bekerja memang meringankan bebanan kami sekeluarga untuk mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.