GEORGE TOWN: Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak akan merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang dijadualkan bersidang secara fizikal bermula Isnin depan.

Speaker DUN Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang berkata persidangan kali ini akan berlangsung secara fizikal selama sembilan hari, melibatkan kesemua 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bangunan DUN yang baru siap dinaik taraf.

"Kita akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu semua Adun diminta mengambil ujian saringan COVID-19 sebelum dibenarkan menghadiri persidangan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata persidangan dewan yang dijadualkan bermula dengan ucapan perasmian oleh Tun Ahmad Fuzi pada 30 Ogos dan akan berlangsung sehingga 8 Sept itu, akan diadakan di Bangunan Dewan Undangan Negeri di Jalan Light.

Bagaimanapun, Law berkata media tidak dibenarkan menghadiri persidangan kali ini dan hanya wakil dari Buletin Mutiara, buletin bulanan dan laman web rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sahaja dibenarkan menghadiri persidangan itu secara fizikal.

"Demi mengurangkan risiko, cuma Buletin Mutiara sahaja bantu buat liputan dan edar. Media lain macam biasa, boleh pantau melalui live streaming," katanya.

Kali terakhir Pulau Pinang mengadakan sidang DUN secara fizikal adalah pada 12 Okt 2020 yang berlangsung selama enam hari namun awal tahun ini, kerajaan negeri telah menggantikan sidang DUN yang tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh darurat, dengan sesi libat urus tidak formal pada Mac lepas selama dua hari di sebuah hotel di sini. - BERNAMA