Ismail Sabri melambai kepada petugas media sejurus tiba di Bangunan Perdana Putra selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz Kuantan dipercayai bagi mempersembahkan cadangan senarai nama Kabinet. -Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri mempersembahkan senarai itu ketika menghadap Seri Paduka di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.

Menurut Istana Negara dalam hantaran di laman Instagram, sesi menghadap itu berlangsung selama satu jam setengah bermula 11 pagi.

Sesi menghadap itu adalah yang kedua bagi Ismail Sabri selaku perdana menteri selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia, 21 Ogos lepas.

Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mengurniakan santapan tengah hari kepada perdana menteri selepas sesi menghadap itu. - BERNAMA