KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan mempertimbangkan pelawaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk blok tersebut menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersama hari ini menyatakan, ia penting untuk bersama-sama menangani pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi, serta bukan sekadar tangkap muat atau menjadi ‘rubber stamp’ kepada pandangan Kerajaan semata-mata.

Dalam ucapan sulung sebagai perdana menteri pada Ahad lalu, Ismail Sabri menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19. 

Kenyataan itu juga menyatakan, fokus PH ini adalah untuk menjadi pembangkang yang berkesan dengan mengutarakan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina dan bertanggungjawab.

Pada masa sama, membentangkan cadangan-cadangan alternatif yang bersesuaian kepada dasar-dasar Kerajaan, terutama berkait usaha menangani COVID-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat. - Bernama