KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah membayar faedah sebanyak RM11.11 juta kepada waris pencarum layak yang meninggal dunia akibat pandemik COVID-19, setakat ini.

Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata bayaran itu melibatkan hampir 11,100 penerima yang permohonannya diluluskan termasuk kategori Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) di bawah Skim Bencana Pekerjaan.

“PERKESO juga perlu menyediakan kira-kira RM110 juta untuk bayaran jangka panjang kepada waris-waris iaitu suami atau isteri kepada penerima dan kemudian turun kepada anak-anak mereka sehingga berusia 21 tahun atau selesai ijazah pertama,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada lapan beradik yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 di sini semalam.

Sementara itu, sebanyak RM200 juta telah dibayar melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) kepada hampir 50,000 pencarum yang hilang pekerjaan sejak Januari hingga Julai lepas akibat pandemik COVID-19.

Bayaran tersebut adalah berdasarkan syarat yang ditetapkan iaitu hilang pekerjaan kerana syarikat gulung tikar, pengecilan operasi, Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan sebagainya.

“Namun, mereka yang diberhentikan kerja akibat masalah disiplin dan sebagainya, ia tidak termasuk dalam SIP,” katanya.

Dalam pada itu katanya, dari Januari tahun ini hingga semalam sebanyak 2,857 kes melibatkan pencarum telah dibantu oleh Skuad PERKESO Prihatin.

Beliau berkata skuad yang ditubuhkan sejak 2016 itu akan bertindak memantau maklumat di media massa, media sosial dan orang ramai jika terdapat kematian atau kemalangan yang melibatkan pencarum pertubuhan itu.

“Kita tidak akan tunggu sehingga waris memohon, sebaliknya pegawai-pegawai akan terus ke rumah waris dan jika didapati nombor kad pengenalan mereka berada dalam sistem dan layak, kita akan terus proses dan bayar faedah yang layak mereka terima,” katanya.

Beliau berkata pendekatan ‘search and serve’ itu adalah bagi memastikan kesejahteraan para pekerja dan orang berinsurans sentiasa terjamin. - Bernama