KUALA LUMPUR: MERCY Malaysia, dalam usaha mengurangkan impak psikologi ke atas petugas barisan hadapan semasa dan selepas pandemik COVID-19, telah memulakan program intervensi dengan mewujudkan pusat, modul latihan serta mengagihkan kit rawatan kendiri kesihatan mental.

MERCY Malaysia dalam kenyataan semalam memaklumkan petugas barisan hadapan memainkan peranan penting sepanjang pandemik yang menjadi sumber utama tekanan moral dan mendedahkan mereka kepada risiko mengalami kerisauan.

“Menyedari hal ini, MERCY Malaysia telah memulakan program intervensi bagi menyokong ketahanan dan kesejahteraan kesihatan mental kakitangan termasuk menubuhkan Pusat Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) yang turut berfungsi sebagai ‘ruang selamat’ bagi sokongan psikoterapi,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut Pusat MHPSS di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) secara rasmi membuka pintunya kepada petugas barisan hadapan semalam manakala Pusat MHPSS di Hospital Kuala Lumpur dijadualkan beroperasi pada 30 Ogos ini.

Pemangku Pengarah Eksekutif MERCY Malaysia Zuraidah Mian berkata Pusat MHPSS akan membolehkan sesi psikoterapi dijalankan secara bersemuka untuk petugas barisan hadapan dalam persekitaran yang kondusif dan sulit.

“MERCY Malaysia akan terus menilai dan membangunkan intervensi kesihatan mental bagi mengurangkan impak pandemik dengan melindungi serta menggalakkan kesejahteraan psikologi petugas kesihatan semasa dan selepas penularan wabak,” menurutnya dalam kenyataan itu.

Modul latihan organisasi itu bertujuan menyediakan modul dan mekanisme yang boleh dipercayai untuk petugas kesihatan menangani petunjuk tekanan manakala kit kendiri kesihatan mental yang diagihkan MERCY Malaysia adalah bantuan kecemasan psikologi (PFA) yang mempunyai maklumat berkaitan pengurusan fizikal dan emosi. - Bernama