KUALA LUMPUR: Sebanyak 41.6 peratus populasi keseluruhan di Malaysia atau 13,580,934 individu telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV). 

Jawatankuasa itu yang berkongsi maklumat berkenaan di laman Twitter rasminya memaklumkan setakat semalam juga, seramai 18,631,593 individu atau 57.1 peratus sudah menerima dos pertama, menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 32,212,527 dos.

Menurut perkongsian maklumat itu, peratusan populasi dewasa yang menerima kedua-dua dos meningkat kepada 58.0 peratus setakat semalam berbanding 56.9 peratus, pada Isnin. 

Dalam pada itu, vaksinasi harian semalam pula mencatatkan peningkatan kepada 420,164 dos berbanding 396,576 dos pada Isnin, dengan 265,160 daripadanya merupakan dos kedua dan baki 155,004 adalah dos pertama.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara. - Bernama