KAMPAR: Polis menangkap sembilan pekerja warga asing dan seorang majikan warga tempatan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan datang bekerja ketika dalam tempoh kuarantin pada waktu pelaksanaan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), semalam. 

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata hasil pemeriksaan anggota Pasukan Petugas Ops COVID ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar kira-kira 12.30 tengah hari di Kawasan Perindustrian Gopeng 2, mendapati kesemua individu terbabit sedang bekerja dan memakai gelang berwarna merah jambu di pergelangan tangan masing-masing. 

"Semakan pada gelang tersebut mendapati penyelia berusia 32 tahun dan sembilan pekerja warga asing berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun masih dalam tempoh kuarantin bermula 18 Ogos lepas sehingga 27 Ogos ini.

"Hasil siasatan juga mendapati penyelia premis tersebut telah mengarahkan pekerja berkenaan yang tinggal di aras dua premis datang bekerja semalam kira-kira pukul 8 pagi di tingkat bawah premis," katanya dalam satu kenyataan di sini. 

Hasron berkata perintah kuarantin telah dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kampar dan kesemua mereka dipakaikan gelang kuarantin pada 20 Ogos lalu. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit manakala kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. - Bernama