Kerja pembersihan sedang giat dijalankan di laluan naik ke Gunung Jerai susulan kejadian banjir kilat yang berlaku tiga hari lalu. -Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak terus meningkat manakala Kedah mencatat sedikit penurunan petang ini.

Di PERAK, 186 orang ditempatkan di empat PPS di dua daerah berbanding 149 orang pagi tadi.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata sebuah PPS dibuka pada 10 pagi tadi dengan 11 orang daripada lima keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu, Kerian.

"Jumlah mangsa banjir di PPS SK Changkat Lobak turut meningkat petang ini dengan 55 orang daripada 15 keluarga berbanding 18 orang pagi tadi manakala di PPS SK Matang kekal 107 orang serta mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Sungai Baru, Trong juga kekal dengan 13 mangsa," katanya.

PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Smart Batu 8, Jalan Changkat Jong di Teluk Intan telah ditutup sepenuhnya pada 1 tengah hari berikutan keadaan banjir di Batu 8 dan Lorong Sidang Osman di Changkat Jong beransur pulih.

Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi ciapan dalam akaun Twitter rasmi memaklumkan Hentian Sebelah Alor Pongsu di kedua-dua arah masih ditutup kepada semua kenderaan disebabkan berlakunya banjir di kawasan berkenaan.

Di KEDAH, PPS SK Siong dekat Baling yang baru diaktifkan pada 3 pagi tadi telah ditutup sepenuhnya pada 9 pagi selepas lima mangsa daripada satu keluarga dibenarkan pulang ke rumah. 

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah dalam kenyataan memaklumkan buat masa ini hanya dua PPS sahaja masih aktif di Yan iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Yan dan PPS SK Teroi.

"Namun, tiada mangsa ditempatkan di situ buat masa ini," katanya.

Pada petang Rabu lepas, fenomena kepala air yang berlaku di Gunung Jerai telah menyebabkan banjir yang menjejaskan sekitar 1,000 rumah di Yan dan Kuala Muda selain mengorbankan empat nyawa setakat ini. - BERNAMA