Ismail Sabri selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri Kesembilan di Istana Negara hari ini. -Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia kesembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengangkat sumpah jawatan hari ini sekali gus memberikan sinar harapan bahawa polemik politik yang melanda negara akan dapat ditamatkan. 

Ismail Sabri, 61, yang juga Naib Presiden UMNO adalah perdana menteri ketiga yang dilantik dalam tempoh tiga tahun sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Pelantikan Ismail Sabri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ismail Sabri antara nama yang disebut-sebut untuk memegang jawatan nombor satu negara itu selepas Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 16 Ogos selepas kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Ia berikutan penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Bersatu serta Pengerusi Perikatan Nasional. 

Jawatan Timbalan Perdana Menteri yang disandang Ismail Sabri sejak 7 Julai lepas turut `membuka laluan' kepada Ahli Parlimen Bera itu untuk menggantikan Muhyiddin.

Potensi Naib Presiden UMNO itu untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan semakin jelas apabila beliau mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen mewakili beberapa parti politik yang dibuat menerusi akuan bersumpah yang dipersembah kepada Al-Sultan Abdullah.

Pelantikan Ismail Sabri ketika negara berada di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19 dengan jumlah kes harian virus itu mencecah lebih 20,000 kes.

Sudah pasti banyak pihak berharap Ismail Sabri, yang sebelum ini antara individu penting yang dipertanggungjawab dalam mengekang penularan COVID-19 termasuk penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP), dapat meneruskan usaha membawa Malaysia keluar daripada pandemik itu secepat mungkin.

Selain itu, harapan semua pihak termasuk komuniti perniagaan ialah untuk melihat usaha Perdana Menteri kesembilan berkenaan memulihkan semula ekonomi negara yang terjejas akibat COVID-19.

Tumpuan kini pastinya terarah kepada pembentukan Kabinet baharu selain Ismail Sabri perlu mengemukakan segera usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi menentukan keabsahan jawatan beliau. - BERNAMA