KUALA LUMPUR: Seramai 31 Ahli Parlimen terdiri daripada Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan pendirian untuk terus bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi mengutamakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara ketika keadaan pandemik COVID-19 masih meruncing.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan mereka adalah menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya kerajaan hari ini meneruskan pentadbirannya dan akan ditentukan keabsahannya di Parlimen nanti.

"Yang di-Pertuan Agong telah beri perkenan supaya satu usul undi percaya dibentangkan di dalam Parlimen dan Ahli Parlimen boleh tentukan pendirian sokong atau tidak usul tersebut,"

"Jadi kita (Ahli Parlimen) terus sokong (kerajaan) berdasarkan titah Agong untuk kita terus kekal dengan kerajaan sehinggalah keabsahan kerajaan akan ditentukan di Parlimen," katanya dalam satu sidang media bersama 21 Ahli Parlimen BN di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini hari ini.

Seramai 10 Ahli Parlimen yang lain turut memberikan sokong kepada kerajaan PN untuk meneruskan pentabdiran tetapi tidak dapat hadir kerana urusan tugas. 

Menyurarakan pentingnya kestabilan politik dan melindungi rakyat, Ismail Sabri berkata sebagai ahli yang setia kepada parti, janganlah tindakan mereka meninggalkan kerajaan (atas arahan parti) merugikan parti dan mengorbankan rakyat.

"Sebagai Ahli Parlimen yang bertanggungjawab terutamanya menteri yang diberikan tugas selesaikan isu pandemik, isu rakyat, kita tidak bertanggungjawab jika kita tinggalkan kerajaan hari ini secara tergesa gesa, seperti diarahkan parti,” katanya.

"Kita sebagai ahli parti, yang setia kepada parti di mana matlamat parti? Kita sebagai wakil rakyat tarik diri serta merta, lari dari amanah kita pada rakyat, tak bertanggungjawab...kita tak mahu jadi pemimpin yang tidak bertanggungjawab.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan semua Ahli Parlimen perlu memberikan tumpuan untuk membantu kerajaan hari ini menyelesaikan isu berkaitan penularan wabak COVID-19 termasuk kesusahan yang dihadapi rakyat. 

Mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu menghantar senarai nama Ahli Parlimen yang tidak menyokong kerajaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Ismail Sabri berkata tindakan itu bertentangan dengan titah Seri Paduka supaya semua isu berkaitan kerajaan diselesaikan di Parlimen. 

"Kami berpandangan, perkara-perkara lain luar perkenan  Yang di-Pertuan Agong, sama ada Akuan Bersumpah termasuklah untuk melakukan tindakan yang boleh runtuhkan kerajaan sebelum Parlimen diadakan...kitalah yang gagalkan hasrat dan titah Tuanku supaya Parlimen bersidang dan kerajaan ditentukan dalam Parlimen. 

"Jadi tidak timbul, isu yang mengatakan Ahli Parlimen derhaka, mungkin yang derhaka pihak yang langgar titah Yang di-Pertuan Agong supaya perkara ini dibawa ke Parlimen pada September," katanya. 

Beliau turut ditanya mengenai surat Setiausaha Agung UMNO Datuk Ahmad Maslan yang memberikan  Menteri-Menteri daripada UMNO 48 jam untuk meletakkan jawatan.

"Ini dilihat bertentangan dengan perundangan parti. Kita akan lihat perkara ini, kita akan buat keputusan untuk jawab surat, kita akan bincang lagi," katanya. 

Ismail Sabri turut 'mengajak' Ahmad Zahid supaya bersemuka dengan semua Ahli Parlimen UMNO yang menyokong kerajaan bagi mendapatkan penjelasan mereka. 

"Tak boleh keluarkan arahan tanpa berjumpa dan menjelaskan kepada kami tentang tindakan yang dilakukan presiden, sebagai ahli parti kami merupakan pemimpin setia pada parti, walau bagaimanapun setiap tindakan jangan sampai rugikan parti dan bebankan rakyat," tegas Ismail Sabri. 

Mengenai pendirian parti komponen di dalam BN, Ismail Sabri berkata pihaknya memberikan ruang kepada pimpinan MCA, MIC and Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) untuk membuat keputusan walaupun telah menyatakan setuju dengan pendirian UMNO menyokong kerajaan PN. 

"Ada empat Ahli Parlimen terdiri daripada komponen BN. Jadi sepatutnya ia dibawa ke mesyuarat BN, sebab kita di Parlimen atas lambang BN, kami adalah Ahli Parlimen BN," jelas Ismail Sabri.

Berikut merupakan senarai Ahli Parlimen UMNO dan BN yang menyatakan pendirian menyokong kerajaan PN:

1. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri (UMNO-Bera)

2. Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (UMNO-Sembrong)

3. Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa (UMNO-Ketereh) 

4. Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique (UMNO-Kota Tinggi) 

5. Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Khairy Jamaluddin (UMNO-Rembau)

6. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba (UMNO-Tenggara)

7. Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (UMNO-Kepala Batas)

8. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (MCA-Ayer Hitam)

9. Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan (MIC-Tapah)

10. Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah (UMNO-Paya Besar)

11. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid   (UMNO-Kuala Kangsar)

12. Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib (UMNO-Maran)

13. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah (UMNO-Jasin)

14. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin (UMNO-Padang Besar)

15. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng (MCA-Tanjung Piai) 

16. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dr Arthur Joseph Kurup (PBRS-Pensiangan) 

17. Tan Sri Noh Omar (UMNO-Tanjong Karang) 

18. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (UMNO-Putrajaya) 

19. Datuk Seri Ismail Mohamed Said (UMNO-Kuala Krau) 

20.Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (UMNO-Lipis) 

21. Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (UMNO-Pasir Salak)

22. Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (UMNO-Padang Besar) 

23. Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (UMNO-Baling) 

24. Datuk Seri Hasan Ariffin (UMNO-Rompin) 

25. Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (UMNO-Padang Rengas)

26. Datuk Seri Mahdzir Khalid (UMNO-Padang Terap) 

27. Datuk Seri Idris Jusoh (UMNO-Besut) 

28. Datuk Mohamad Alamin (UMNO-Kimanis)

29. Datuk Mohd Nizar Zakaria (UMNO-Parit)

30. Datuk Salim Sharif (UMNO-Jempol) 

31. Datuk Jalaluddin Alias (UMNO-Jelebu) - BERNAMA