Muhyiddin ketika Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama TV hari ini. - Gambar Bernama 

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mendedahkan ada pihak yang kurang senang dengan ketegasannya untuk tidak melayan beberapa tuntutan termasuk desakan supaya beliau mencampuri urusan mahkamah bagi membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

Perdana Menteri berkata disebabkan itu ada pihak-pihak tertentu yang sengaja mencetuskan kemelut politik yang cuba menangguk di air yang keruh.

Muhyiddin berkata beliau turut dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan tindakannya adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.

“Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama TV.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, hadir sama.

Muhyiddin terdahulu menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 11 pagi. 

Beliau turut menyeru semua penjawat awam khususnya golongan barisan hadapan agar terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu.

Perdana Menteri berkata beliau akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual selain memastikan bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan.

“Saya doakan agar rakyat dan negara kita terus dilindungi oleh Allah SWT dan kepada-Nya jua lah kita berserah,” katanya. - Bernama