__alt__

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri berharap agar bekalan vaksin dihantar lebih banyak ke negeri ini ini bagi memastikan Sabah mencapai sasaran imuniti kelompok dalam usaha mengekang penularan jangkitan wabak COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata jumlah 2.2 juta dos vaksin tidak mencukupi berikutan sejumlah 2.7 juta rakyat Sabah yang perlu divaksin.

“Kita harapkan Kerajaan Persekutuan dapat membekalkan vaksin ke Sabah dengan lebih banyak berikutan Sabah adalah antara negeri yang mencatatkan pemberian vaksin terendah dalam negara.

“Saya difahamkan bekalan vaksin mula dihantar ke Sabah dalam jumlah yang banyak minggu ini dan seterusnya.

“Jadi dengan adanya bekalan yang banyak ini dapat meningkatkan pemberian vaksin kepada penduduk Sabah,” katanya.

Menurutnya pihaknya juga mengharapkan agar pemberian vaksin ke Sabah dipercepatkan berikutan berlaku kelambatan terhadap penghantaran vaksin ke negeri ini.

“Ada sedikit kelambatan tetapi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjadualkan balik penghantaran bekalan vaksin ke sini disebabkan pihak pembekal yang lambat menghantar bekalan ke negara kita.

“Oleh itu saya harapkan pihak Kerajaan Persekutuan dan KKM dapat menghantar bekalan yang diperlukan bagi mencapai sasaran 50 hingga 60 peratus akan menerima vaksin COVID-19 menjelang Oktober,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berada di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.

Katanya pihaknya berterima kasih dengan usaha UMS terutama Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin yang menyediakan PPV kepada warga UMS dan dibuka kepada orang awam bagi mendapatkan suntikan vaksin.

“Usaha ini adalah sesuatu yang amat kita perlukan dan UMS membantu kerajaan mengatasi masalah kawasan PPV terutama di ibu negeri sendiri.

“Kita difahamkan UMS juga akan meningkatkan pemberian vaksin kepada 3,000 dos minggu hadapan berbanding hanya 1,000 dos sehari sekarang yang dikendalikan sepenuhnya oleh kakitangan perubatan daripada UMS sendiri,” katanya.

Tambahnya pihaknya juga difahamkan UMS akan membantu kerajaan memberikan suntikan vaksin kepada penduduk di kawasan perkampungan selepas ini.