KUCHING: Pengarah Institut Perubatan dan Kesihatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak Profesor Dr David Perera berkata 76 lagi kes baharu varian Delta (B.1.167.2) dikesan di negeri ini.

Menurutnya, 76 kes baharu itu dikesan dalam pengesanan dan pengawasan berterusan Varian SAR-COC-2 yang menular di negeri ini.

"Sampel daripada kes-kes positif telah diuji antara 7 Jun hingga 13 Julai, baru-baru ini.

"Majoriti kes iaitu 52 dikesan di Kuching," katanya dalam laporan terbaharu beliau yang dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.

Dr Perera berkata kes-kes berkenaan dikenal pasti dalam sampel-sampel dari Hospital Sentosa, Balai Polis Satok serta beberapa lagi lokasi di Kuching.

"Selain itu, varian ini juga dikesan di Serian (11 kes), Samarahan (tiga), Sri Aman (lima), Sibu, Miri dan Betong (masing-masing satu).

"Kita juga mengesan satu kes masing-masing bagi kategori Import A dan Import B," jelasnya.

Pada 13 Julai lalu, Dr Perera menerusi kenyataannya memaklumkan 16 kes varian Delta ( B.1 617.2) dikesan di Kuching setakat 4 Julai 2021.

Dalam Kenyataannnya itu juga beliau memaklumkan dengan penambahan baharu itu Sarawak kini mempunyai 17 kes varian Delta dan kesemuanya dikesan di Kuching.

Dengan penambahan terkini iaitu 76 kes baharu dilaporkan Sarawak kini merekod  93 kes varian Delta setakat ini.