Fatimah semasa pengagihan bakul makanan kepada kawasan PKPD di Kampung Tabuan Melayu hari ini.

KUCHING: Sejumlah 200,842 bakul makanan bernilai RM17.4 juta diagihkan kepada penduduk yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh Sarawak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, agihan bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) itu adalah melibatkan seramai 197,997 ketua isi rumah (KIR) setakat 18 Julai lalu.

“Jika kita lihat statistik tahun lalu, hanya ada satu lokaliti sahaja dikenakan PKPD berbanding tahun ini sebanyak 1,439 lokaliti PKPD di mana kita agihkan bakul makanan kepada seramai 197,997 KIR yang terlibat.

“Setakat 18 Julai ini, sebanyak 62 kawasan di seluruh Sarawak masih menjalani PKPD dengan bahagian Sarikei (13), Betong (10), Kuching (9), Sibu (8), Kapit (7), Bintulu (7), Miri (7) dan Sri Aman (1),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pengagihan bakul makanan kepada kawasan PKPD di Kampung Tabuan Melayu, di sini, hari ini. 

Menurutnya, kerajaan Sarawak sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat dan salah satunya menerusi pemberian bakul makanan kepada mereka yang menjalani PKPD.

“Di setiap kawasan yang dikenakan PKPD atau sekatan pergerakan, kerajaan Sarawak akan membekalkan makanan asas seperti beras, gula dan sebagainya untuk tempoh dua minggu. 

“Sekiranya PKPD itu dilanjutkan tempohnya, kerajaan Sarawak menerusi JKMS akan mengagihkan lagi bantuan kepada penduduk terlibat untuk tempoh tersebut,” katanya.

Selain bakul makanan itu, katanya, kerajaan Sarawak turut membekalkan makanan di kawasan sekatan jalan raya, pusat kuarantin dan mereka yang menjalani kuarantin di rumah.

“Kesemua bantuan ini sudah tentu melibatkan perbelanjaan yang besar. Oleh itu, kita harus bersyukur kerana mempunyai kerajaan sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat dan memastikan mereka yang terjejas tidak terputus bekalan makanan,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada rakan strategik JKM dalam pengagihan bakul makanan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak serta agensi lain.  

 "Saya gembira kita mempunyai organisasi dan koordinasi yang sangat baik kerana niat tujuan kita adalah untuk membantu masyarakat," katanya.

Terdahulu, seramai 2,471 KIR yang menjalani PKPD di  Kampung Tabuan Melayu menerima bakul makanan daripada JKMS.

Jumlah itu melibatkan 657 KIR di Tabuan Dani, Tabuan Lot (570), Tabuan Tengah (305), Tabuan Lama (430), Tabuan Hilir (329) dan Tabuan Cemerlang (180).